Semboyan Malaysia tampil menafikan dakwaan pihaknya menceroboh dan mengeluarkan 28 kenderaan dari tempat letak kenderaan di Pendamar, Klang tanpa kebenaran baru-baru ini.

Memetik Harian Metro, Pengerusinya, Yusuf Azmi berkata, tindakan itu dibuat bersama kesemua pemilik kenderaan yang sebelum ini disekat mengambil kenderaan mereka oleh sebuah syarikat perkapalan susulan kejadian kebakaran kapal.

Baca Juga:

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat terbabit malah dengan Kementerian Pengangkutan dan pihak Pelabuhan Utara.

Syarikat berkenaan telah pun diarah menyerahkan semula kenderaan kepada pemilik.

“Saya difahamkan sebelum ini terdapat lebih 1,000 kenderaan ‘ditahan’ dan ratusan pemilik sudah membuat laporan polis tapi tiada tindakan diambil. Syarikat pula tetap dengan pendirian menuntut bayaran 60 peratus daripada pemilik kenderaan yang tidak mempunyai insurans.

“Berikutan itu, ramai mangsa ini datang kepada kita (Semboyan Malaysia) buat aduan dan meminta bantuan. Kita kemudian meminta penjelasan pihak syarikat bersama surat kebenaran menyimpan kenderaan daripada agensi yang berkaitan.

“Bagaimanapun, pihak syarikat gagal memberikan bukti dan permintaan kita untuk diadakan pertemuan antara syarikat dan pemilik kenderaan juga ditolak,” katanya kepada pihak Harian Metro, hari ini.

Tambah Yusuf lagi, lebih ramai lagi mangsa yang akan tampil membuat aduan kepada Semboyan Malaysia selepas ini.

Beliau juga sedia memberikan kerjasama kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Selain itu, beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas semua laporan polis yang dibuat pemilik kenderaan sebelum ini.

Sumber