Peminat bola sepak tempatan terkejut apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan nama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebaris dengan 11 pasukan handalan Asia dalam perebutan slot ke Piala Dunia Kelab.

4 slot diberikan kepada pasukan dari benua Asia dengan 2 daripadanya sudah mengesahkan tempat di Piala Dunia Kelab 2025 iaitu Al-Hilal dan Urawa Red Diamonds.

Baca Juga:

Dua kelab ini layak selaku juara AFC Champions League (ACL) pada musim 2021 dan 2022. Dalam senarai FIFA, Al Hilal berada di kedudukan pertama dengan 97 mata manakala Urawa Red Diamonds di tangga ketujuh dengan 49 mata.

Dalam kenyataan rasmi, FIFA menjelaskan hanya dua cara untuk layak ke Piala Dunia Kelab iaitu muncul juara AFC Champions League (ACL) dan penentuan melalui kedudukan ranking kelab dalam setiap benua masing-masing.

Namun begitu, JDT berada di tangga ke 11 dengan 38 mata dan terlepas slot ketiga Piala Dunia 2025 kerana sudah tersingkir daripada peringkat kumpulan ACL musim 2023/24.

Walaupun tidak layak, berada dalam senarai tersebut sudah cukup membanggakan bagi para penyokong Harimau Selatan.

Jumlah mata ini dikumpulkan berdasarkan prestasi mereka dalam saingan ACL dari musim 2021 hingga 2023/24. Setiap kemenangan dikira tiga mata dan satu mata untuk keputusan seri. Tambahan 3 mata diberikan jika layak ke pusingan kalah mati.

Malah, warga maya sempat berseloroh mengatakan jumlah mata dikutip JDT jauh lebih tinggi daripada kelab ternama Eropah iaitu Manchester United (35 mata) setelah membuat perbandingan dalam senarai FIFA tersebut.

Bagaimanapun, peluang JDT untuk merebut slot keempat ke Piala Dunia Kelab 2025 sukar kerana perlu bersaing dengan Jeonbuk Hyundai Motors, Ulsan HD, Kawasaki Frontale dan Pohang Steelers kerana keempat-empat kelab ini mengumpulkan mata lebih tinggi.

Kelab Piala Dunia Kelab 2025 akan menjadi edisi pertama yang disertai oleh 32 pasukan terbaik dari setiap benua dan ia akan berlangsung di Amerika Syarikat selama hampir sebulan.