Gaji sebanyak RM7,000 sebulan mungkin dianggap sederhana bagi warga kota di Lembah Klang, namun realitinya angka tersebut sudah memadai untuk meletakkan sesebuah isi rumah di Kelantan dan Kedah dalam kelompok elit 20 peratus teratas atau T20.
Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), data terbaharu ini mendedahkan betapa besarnya jurang ekonomi dan perbezaan kos sara hidup antara negeri di Malaysia secara keseluruhannya.
Di Kelantan, mana-mana isi rumah yang memperoleh pendapatan kasar bermula RM7,000 sebulan telah melepasi had kategori pertengahan atau M40 dan secara rasminya diiktiraf sebagai golongan T20.
Secara terperincinya, kumpulan B40 di Kelantan mencatatkan pendapatan di bawah RM3,520, manakala kumpulan M40 pula berada dalam julat RM3,520 hingga RM6,999.
Trend yang hampir sama turut direkodkan di Kedah, di mana status T20 bermula pada paras RM7,820. Bagi kumpulan B40 di negeri jelapang padi itu, had pendapatan ditetapkan pada bawah RM3,940, sementara kategori M40 pula diletakkan dalam lingkungan RM3,940 hingga RM7,819.
Laporan DOSM ini turut menonjolkan realiti kos sara hidup yang berbeza secara drastik mengikut geografi, terutamanya apabila membandingkan negeri pantai timur dan utara tanah air dengan pusat bandar utama.
Sebagai contoh, untuk memegang status T20 di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya, sesebuah isi rumah memerlukan pendapatan bulanan yang jauh lebih tinggi iaitu di antara RM16,040 hingga RM19,030.
Sementara itu, Johor dan Pulau Pinang kekal sebagai negeri yang menuntut pendapatan tinggi di luar Lembah Klang dengan ambang kelayakan T20 masing-masing ditetapkan pada RM13,560 dan RM12,680.
Angka yang tinggi ini amat berbeza dengan negeri sederhana seperti Perlis, Perak, dan Pahang yang menetapkan syarat kelayakan T20 pada sekitar paras RM8,000 sebulan sahaja.
Sebagai kayu pengukur keseluruhan, pihak DOSM turut meletakkan penanda aras purata pendapatan untuk seluruh Malaysia.
Senarai Tangga Gaji T20 Mengikut Negeri:-
1. Kelantan (RM7,000 ke atas)
2. Kedah (RM7,820 ke atas)
3. Perlis (RM8,010 ke atas)
4. Pahang (RM8,090 ke atas)
5. Perak (RM8,220 ke atas)
6. Sabah (RM9,160 ke atas)
7. Sarawak (RM9,710 ke atas)
8. Terengganu (RM9,790 ke atas)
Negeri Sembilan (RM9,980 ke atas)
9. Melaka (RM11,560 ke atas)
10. Wilayah Persekutuan Labuan (RM11,630 ke atas)
11. Pulau Pinang (RM12,680 ke atas)
12. Johor (RM13,560 ke atas)
13. Selangor (RM16,040 ke atas)
14. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17,030 ke atas)
15. Wilayah Persekutuan Putrajaya (RM19,030 ke atas)
Berdasarkan purata nasional ini, kumpulan B40 merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM5,860 sebulan.
Kumpulan pertengahan M40 pula mewakili mereka yang berpendapatan di antara RM5,860 hingga RM12,679, manakala status T20 kebangsaan hanya bermula daripada RM12,680 ke atas.
Kesimpulannya, statistik yang dibentangkan ini membuktikan bahawa terma klasifikasi B40, M40, dan T20 adalah sangat subjektif dan tidak wajar dipukul rata untuk seluruh pelosok negara.
Nilai sebenar mata wang serta kuasa beli sesebuah keluarga amat bergantung kepada lokasi pangkalan mereka.
Hakikatnya, gaji bulanan sebanyak RM7,000 mungkin hanya sekadar meletakkan anda dalam kategori pertengahan di peringkat kebangsaan, tetapi pendapatan yang sama sudah cukup untuk menaikkan taraf anda ke kelas atasan sekiranya anda memilih untuk menetap di Kelantan atau Kedah.