Malaysia dilihat memberikan peluang kepada lima muka baharu bagi menghadapi Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai 2026 yang bermula hari ini di Fashion Island, Bangkok.

Seperti dilaporkan sebelum ini, kem negara merehatkan tonggak seperti Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zulkifli Razak (Sobey), Azlan Alias, Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Farhan Adam dan Aidil Aiman Azwawi.

Peluang untuk menggalas tanggungjawab negara dalam kejohanan ini diberikan kepada  Zuhri Zain dan Muhammad Fahmi Khalid di posisi tekong. Nazrein Daniel dan Wazir Madi pula diberikan kepercayaan di posisi apit kanan manakala Kamarul Ezzad serta Zulfikri Wajawwa selaku apit kiri.

Walaupun tugas amat berat menanti kerana tuan rumah, Thailand menghantar pasukan terkuat mereka, kehadiran beberapa muka lama diharapkan dapat menjadi tonik berguna untuk menaikkan moral pemain-pemain muda ini.

Senarai Pemain Malaysia Beraksi Dalam Piala Raja Thai 2026
Kredit Foto: Kredit Foto: Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM

Melihatkan kepada undian kumpulan, skuad lelaki negara akan beraksi dalam acara regu berpasukan, regu dan kuadran.

Edisi tahun lalu menyaksikan Malaysia muncul juara regu lelaki selepas menewaskan India ekoran Thailand tidak menyertai acara tersebut.

Thailand kemudiannya menghampakan Malaysia dalam regu berpasukan dengan kemenangan 2-0 manakala kempen kuadran skuad negara pula berakhir di separuh akhir selepas tumpas kepada Jepun.

Berikut merupakan senarai penuh pemain lelaki Malaysia dalam Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai 2026:

Piala Raja Thai 2026

1) Muhammad Haziq Khairul Nizam (Tekong)
2) Zarif Marican Ibrahim Marican (Tekong)
3) Zuhri Zain (Tekong)
4) Muhammad Fahmi Khalid (Tekong)
5) Muhammad Noraizat Mohd Nordin (Apit Kanan)
6) Hafizul Hayazi Adnan (Apit Kanan)
7) Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa (Apit Kanan)
8) Muhammad Wazir Madi (Apit Kanan)
9) Zuleffendi Sumari (Apit Kiri)
10) Jefri Ahmad (Apit Kiri)
11) Kamarul Ezzad Kamarul Imran (Apit Kiri)
12) Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa (Apit Kiri)