Tirai saingan badminton pada tahun ini sudah pun ditutup dengan berakhirnya kejohanan BWF World Tour Finals 2024 dimana dua wakil Malaysia menaiki podium selaku naib juara.
Seperti diketahui, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Sze Fei Nur Izzuddin Rumsani terpaksa akur dengan kehebatan lawan masing-masing pada aksi final semalam.
Baca Juga:
- Tang Jie-Ee Wei Muncul Naib Juara BWF World Tour Finals 2024
- BWF World Tour Finals 2024: Sze Fei-Nur Izzuddin Atasi Fajar Alfian-Rian Ardianto Untuk Ke Final
- Ini Jumlah Hadiah Wang Tunai Menanti Pemain Di BWF World Tour Finals 2024
Meskipun gagal membawa pulang gelaran juara, aksi yang dipamerkan kedua-dua pasangan itu wajar dipuji dengan semangat juang tinggi dijelmakan oleh mereka.
Begitu juga dengan sumbangan hebat pemain-pemain lain seperti Lee Zii Jia yang mengalami kecederaan, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah.
Walaupun tidak dianggap sebagai kuasa ‘powerhouse’ dalam kancah badminton dunia seperti China, Indonesia dan Jepun, pemain-pemain Malaysia masih mampu bersaing hebat sepanjang tahun ini.
Ia jelas dibuktikan dengan 11 kejuaraan dimenangi daripada saingan Super 300 hingga ke Super 1000. Satu isyarat jelas pemain negara semakin menunjukkan peningkatan.
Berikut merupakan senarai penuh saingan BWF World Tour 2024 bagi kelas Super 300 hingga 100 yang dimenangi pemain dari Malaysia:
1) Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani
Gandingan yang cukup menyerlah terutamanya selepas bulan Ogos ini telah memenangi kejuaraan Terbuka Jepun (Super 750), Terbuka China (Super 1000) dan Terbuka Artic (Super 500).
Daripada tiga kejuaraan itu sahaja, pasangan ini sudah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $244,080 (RM1,088,866.68).
Ia masih belum dicampur dengan RM446,489.73 yang dimenangi apabila mara ke perlawanan akhir BWF World Tour Finals 2024, semalam serta bayaran-bayaran diterima setiap kali menyertai kejohanan di bawah kendalian BWF sepanjang tahun ini.
2) Lee Zii Jia
Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu berjaya memenangi gelaran Thailand Masters dan Terbuka Australia.
Dua gelaran itu membolehkan Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $63,000 (RM281,049.09).
3) Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie
Pasangan suami isteri ini menikmati musim yang positif dengan dua kejuaraan berjaya dimenangi oleh mereka.
Dua kejohanan tersebut ialah Terbuka Switzerland (Super 300) dan Malaysia Masters yang berstatus Super 500. Hasil dua kejayaan tersebut, mereka telah memenangi hadiah sebanyak $49,770 (RM222,013.26)
4) Choong Hon Jian-Haikal
Pasangan muda ini menjadi pemain pertama dari Malaysia yang muncul pemenang dalam saingan BWF World Tour 2024 selepas mereka mengungguli saingan Orleans Masters (Super 300) pada 17 Mac lalu.
Dengan kejayaan tersebut, mereka menggondol hadiah wang tunai $16,590 (RM74,000).
5) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei
Gandingan beregu campuran nombor satu negara itu memenangi Terbuka Korea (Super 500) untuk membawa pulang wang tunai bernilai $33,180 (RM148,019.03).
6) Pearly Tan-M. Thinaah
Pasangan ini berjaya memenangi Terbuka Hong Kong untuk turut sama memenangi $33,180 (RM148,019.03).
7) Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Aaron dan Wooi Yik menjadi juara terakhir pada musim ini dengan membawa pulang gelaran Korea Masters yang sekali gus memenangi $16,590 (RM74,011.11).