Sempena acara pelumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berlangsung pada hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menutup beberapa laluan secara berperingkat melibatkan lapan negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Penutupan jalan dan lencongan secara berperingkat itu akan bermula dengan peringkat pertama pada 11 Oktober (hari ini), melibatkan laluan dari Seri Menanti, Negeri Sembilan menuju ke KLCC, Kuala Lumpur dari pukul 12.30 tengah hari hingga 4.17 petang.

Peringkat Pertama

Menurut perkongsian terbaharu Instagram @ltdlangkawi, terdapat tujuh lokasi peloton LTdL akan lalui dengan jangkaan masa bagi Peringkat pertama (Kuala Pilah – Kuala Lumpur) seperti berikut –

  1. Kuala Pilah — 12.39 tengah hari
  2. Rembau — 1.47 petang
  3. Seremban — 2.23 petang
  4. Mantin — 2.37 petang
  5. Bukit Hantu — 3.40 petang
  6. Ampang — 3.58 petang
  7. KLCC — 4:17 petang

Bagi perhentian di Kuala Lumpur hari ini (11 Oktober), Jalan Ampang akan ditutup dari jam 10 pagi hingga 6 petang, manakala Jalan P. Ramlee pula akan ditutup dari jam 3 petang hingga 5 petang kata penganjur, Human Voyage kepada Bernama.

Jarak LTdL 2022 sejauh 1,096.9 kilometer itu, bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur; diikuti Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub); Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands); Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya); Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim); Peringkat 6 (Georgetown-Alor Setar); Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan berakhir dengan Peringkat 8 di Loop Langkawi.

“Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan jalan alternatif atau pengangkutan awam serta mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota polis trafik bertugas demi keselamatan dan kelancaran aliran trafik bagi acara Le Tour de Langkawi 2022,” kata penganjur dalam satu kenyataannya.