Dua minggu lepas, saya bertemu dengan seorang kenalan lama yang pada asalnya kami ingin berbincang tentang perniagaan, tetapi hendak dijadikan cerita, saya dikenalkan dengan seorang rakannya yang kebetulan ada pada waktu itu. Kata kawan saya, rakannya itu merupakan seorang usahawan yang memiliki sebuah pusat senaman, gimnasium di Bandar Putra, Kuantan Pahang.

Mahu perkenalan nampak lebih mesra, saya terus bertanya beberapa soalan berkaitan kesihatan, antaranya bagaimana mahu naikan berat badan dengan cepat. Kebetulan saya memang mempunyai masalah berat badan. Entah bagaimana perbualan kami meleset hingga bercerita tentang kes bunuh yang berlaku di Kuantan pada Febuari lepas yang mana mangsa mati ditembak di kepala dan ditetak sehingga putus jari.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Antara kata-kata yang tercampak keluar dari mulut Mohd Asnan iatu rakan kepada rakan saya, atau lebih mesra dipanggil Abang Nan ketika itu ialah, “keadaan Malaysia yang macam sekarang ni lah kau kena ambil tahu seni bela diri, budak-budak sekarang apa tahu, tak macam orang dulu“.

Selepas itu baru saya dimaklumkan oleh rakan yang Abang Nan selain daripada pemilik gimnasium, beliau juga merupakan tenaga pengajar untuk Gerak Lian Malaysia dan pernah menjadi juri dan pengadil dalam beberapa pertandingan silat kebangsaan di Malaysia dahulu.

Tidak mahu lepaskan peluang baik ini, saya nekad untuk temubual Abang Nan secara langsung dan korek sehabis mungkin pengalaman beliau untuk dikongsikan dengan pembaca Vocket. Editor yang kacak selalunya mesra, jadi saya terus mulakan pertanyaan.

Mohd Asnan bersama pelatihnya

Vocket: Sejak bila Abang Nan mula terjebak dengan silat atau seni bela diri dan apa yang mendorong Abang Nan pada awalnya?

Mohd Asnan: Mula terjebak dalam seni bela diri ini pada tahun 1984, masa itu tingkatan 3. Banyak juga jenis martial arts yang belajar sebelum itu, tapi mula bermain dengan permainan Gerak Lian adalah pada tahun 1986 dan kekal bawa sampai sekarang.

Cerita yang sebenarnya, semasa umur 15 tahun tu tak berminat pun dengan silat, tapi sebabkan ini adalah arahan daripada ayah, maka secara langsung terpaksa lah belajar juga. Ingat lagi ayah Abang Nan pesan, anak lelaki ni kena tahu juga ilmu bela diri, kalau tak, tak boleh keluar. Maksudnya keluar merantau.

Pesan orang tua, anak lelaki ni suatu hari nanti dia tetap akan akan keluar pergi merantau, tapi tak tahu bila. Apabila merantau, nanti dia akan keseorangan, jadi tiada siapa yang boleh bantu waktu itu melainkan diri sendiri.

Mula-mula berlatih dahulu, terasa juga berat sebab hati memang tak berminat. Tetapi setelah hari demi hari berlatih, lama-kelamaan minat tu datang dengan sendiri.

Selain itu Mohd Asnan turut aktif di gimnasium

Vocket: Seperti yang dimaklum kepada saya, Abang Nan juga sekarang ini memang aktif dalam seni bela diri dan juga merupakan salah seorang daripada tenaga pengajar. Sejak bila Abang Nan mula bergiat secara serius?

Mohd Asnan: Mula mengajar secara tak rasmi sekitar tahun 1991, tetapi kalau betul-betul mengajar secara rasmi dan sepenuh masa adalah pada awal tahun 2000 sampai sekarang.

Vocket: Berdasarkan pengalaman Abang Nan, apa berbezaan martial arts dahulu dengan yang sekarang ini? Maksud saya dari segi cara pembelajaran atau penyampaian.

Mohd Asnan: Oh, kalau nak diikutkan, banyak juga perbezaan antara martial arts dahulu dengan yang sekarang. Paling ketara dari segi pembelajaran. Kalau orang dahulu cara mengajar dia sangat tegas dan keras. Latihan pun berat, senang kata kalau dulu tak boleh buat memang hinggap la batang kayu dekat badan. Itu belum cerita suara jurulatih lagi, suara dia sahaja pun kita dengar boleh gugup jantung, hahaha.

Sekarang ini latihan pun berbeza, dari segi latihan fizikal kita ada kelebihan sebab sekarang sudah ada sains sukan. Ada cara dahulu yang tak boleh kita bawa zaman sekarang, yang mana ada sesetengah daripada latihan boleh mencederakan tubuh badan. Itu kelebihan training zaman sekarang yang Abang Nan nampak. Dari segi fizikal lebih up-to-date, ada pembaharuan.

Cuma tak boleh la nak mengajar sekaras macam orang dahulu, nanti ramai yang lari. Tetapi orang dahulu dispilin bagus, patuh pada guru, patuh arahan, senang kata sikap hormat-menghormati tu tinggi.

Vocket: Baik Abang Nan, secara umumnya kita tahu bila sebut tentang seni bela diri ia lebih kepada memepertahankan atau bahasa mudah jaga diri, tapi selain daripada itu apa manfaatnya?

Mohd Asnan: Selain daripada jaga diri, martial arts ni bagus untuk kesihatan. Kayakinan pun bertambah, jadi orang yang berdisiplin dan satu lagi pandai buat keputusan. Tidak teragak-agak. Kalau faham, martial arts ni bukan sekadar seni bela diri sahaja, tetapi lebih daripada itu.

Vocket: Pada pandangan Abang Nan sendiri, bagaimana sambutan terhadap seni bela diri di kalangan masyarakat Malaysia zaman sekarang?

Mohd Asnan: Kalau ikut apa yang Abang Nan tengok, orang zaman sekarang ni permintaan nak belajar tu ramai, tetapi kesungguhan individu itu sendiri yang kurang. Itulah yang Abang Nan cakap, kalau orang dahulu belajar memang betul-betul untuk pertahankan diri, orang sekarang kalau ada pun sekadar nak mengisi masa lapang. Tak ramai yang bersungguh.

Vocket: Maaf kalau saya tanya, masih relevan lagi ke kalau belajar martial arts? Macam terlalu oldskool saja. Hahaha.

Mohd Asnan: Beginilah, sebenarnya zaman sekarang lagi penting untuk ambil tahu berbanding zaman dahulu. Sekarang ini Abang Nan tengok keadaan Malaysia pun semakin tenat, hari-hari keluar berita jenayah. Kes ragut, mencuri, pecah rumah, merompak, pencabulan, culik, yang mana kes-kes ni memang susah nak berlaku zaman dahulu.

Jadi kalau nak kira, zaman sekarang lah paling relevan belajar, tapi ramai yang ambil mudah.

Vocket: Itu saya setuju, tapi kebanyakkan yang saya lihat, orang yang belajar martial arts ni banyak yang poyo. Kerja nak pukul orang lah, berlagak. Hahaha. Itu macam-mana pula Abang Nan?

Mohd Asnan: Itu peranan jurulatih, sebenarnya dalam martial arts peranan jurulatih itu sangat penting. Kerana jurulatih lah yang akan membentuk sikap-sikap pelatihnya, samada baik atau tidak. Senang cakap, keperibadian pelatih itu sebenarnya dibentuk oleh jurulatih itu sendiri.

Soal bergaduh pula, itu cerita lain. Kalau orang yang betul-betul faham tentang martial arts dia sebolehnya akan mengelak dari pergaduhan. Sebab bergaduh ni benda sakit, dan pergaduhan itu sebenarnya sesuatu yang sia-sia.

Orang yang arif dalam martial arts sebenanya dia akan cuba elak dari berlaku pergaduhan dan pandai berbincang. Bergaduh ni benda yang sia-sia, bergaduh bukan lama pun sebenarnya, tetapi kesan selepas bergaduh itu yang tak bagus dan mungkin berpanjangan jadi lebih teruk.

Vocket: Kalau selain belajar dari elak pergaduhan apa lagi yang best martial arts ni?

Mohd Asnan: Ok, begini. Selain daripada belajar mempertahankan diri, martial arts ini secara langsung juga memperkenalkan budaya sesuatu bangsa. Contohnya kalau awak tengok Karate dia akan menerapkan budaya-budaya jepun, tomoi pula terapkan budaya orang Thai, macam silat, kita memperkenalkan pula budaya-budaya Melayu.

Selain itu martial arts boleh bantu ekonomi negara. Contohnya Korea, hasil daripada pulangan yuran keahlian Taekwondo sahaja mampu beri kutipan berbilion-bilion kepada Korea sehingga di Korea Selatan ada Universiti Taekwondo yang khas kat sana. Kalau kita?

Vocket: Erm, tetapi ramai juga orang kata, membazir masa saja belajar, orang sekarang pakai pistol. Kalau begini macam-mana Abang Nan? Hahahaha.

Mohd Asnan: Ayat ni dah banyak kali Abang Nan dengar, selalu nya orang yang cakap macam ni banyak yang sembang kosong dan hidup penuh fantasi. Itulah kalau nak tengok antara orang yang faham martial arts atau tak.

Memang betul pistol ada orang guna pistol, tapi cuba cakap tu biar logik. Bukan senang nak dapat pistol, ingat ada jual merata di pasaraya ke? Kalau betul pun cuba tanya balik diri kita, dalam keadaan mendesak yang tertentu sempat ke kita guna pistol? Balik kepada asal, apa yang ada adalah tangan dan kaki sahaja.

Nak jalan bawa pisau pun susah ni nak sembang pasal pistol! Teringat Abang Nan dengan kata-kata guru Abang Nan dulu. “Pada masa aman inilah kita ada masa nak belajar dan belatih dengan bersunguh sebab kita tak ada gangguan, tetapi bila tiba masa tidak aman nanti sudah tak ada makna nak belajar lagi. Masa itulah kita akan guna apa yang belajar dan berlatih dahulu”.

Kata orang tua dahulu, malang tak berbau. Jadi persiapkanlah diri sendiri sebaiknya, ini sembang macam gajah pun boleh terbang. Jangan buang masa, nanti menyesal.

Vocket: Pada pendapat saya pula, antara orang tak minat dengan martial arts Melayu mungkin sebab ada unsur-unsur mistik, macam jadi kebal la, itu lah ini lah. Hahaha, macam penuh sangat dengan fantasi.

Mohd Asnan: Pandai-pandai lah cari guru yang bagus. Kalau lihat senarai berdaftar, di Malaysia sendiri kita ada lebih daripada 300 jenis martial arts. Pilihlah ikut kesesuaian diri sendiri, jangan ikut orang.

Yang lain itu pilih la juga, tengok dulu guru dan jurulatih. Kalau nak lari dari unsur-unsur mistik yang karut-marut, tengok latihan dan guru. Kalau lebih pada fizikal itu elok. Cari jurulatih atau guru yang tekan lebih pada latihan fizikal dan tumpu pada kekuatan stamina bukan yang cerita kehebatan luar dari jangkaan. Hahaha.

Vocket: Seronok saya dengar cerita dari Abang Nan, tetapi masa agak dengki. Apa kata-kata power Abang Nan khas untuk pembaca Vocket?

Mohd Asnan: Haha, kata-kata power tu tak ada, tapi kalau nak pesan, anak-anak muda ini kalau ada kesempatan pergilah belajar. Tak kira apa jenis martial arts, sekurang-kurangnya kena ambil tahu, lebih-lebih lagi anak lelaki.

Sudahlah pengaruh dengan filem-filem aksi, berpijak lah di bumi yang nyata. Dalam Islam pun kita dituntut pertahankan hak sendiri, dan martial arts adalah salah satu ilmunya. Paling penting, cari guru yang betul. Elak cari yang suka cerita kehebatan diluar jangkaan, sebab hidup dalam realiti ini lain sungguh! Hahahaha.

Inilah sebahagian kecil daripada Abang Nan yang sempat saya kongsi bersama anda. Baru ingat nak jadi mutant, tapi Abang Nan pesan jangan hidup dalam fantasi, potong sungguh. Apa pun saya berharap perkongsian ini akan mendatangkan banyak manfaat buat anda.

Jika anda ingin berkongsi kisah inspirasi yang menarik bersama kami, sila rujuk halaman ini atau anda juga boleh menghantar terus ke email saya di [email protected].