Seorang Ahli Parlimen (AP) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 (Akta 613).

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ahli Parlimen itu dijangka menghadapi lebih 15 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM6 juta.

“Individu itu telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini untuk keterangannya direkodkan,” menurut sumber itu.

Sumber itu juga berkata seorang timbalan ketua bahagian sebuah parti politik akan didakwa atas kesalahan sama membabitkan RM500,000 di mahkamah sama.

“Individu yang sama juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis atas pelbagai pertuduhan membabitkan lebih RM3 juta dan semua pertuduhan adalah di bawah seksyen yang sama,” kata sumber itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas.

Sumber