Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan satu kes positif cacar monyet atau ‘monkeypox’ (Mpox) dalam varian Clade II (dua) dikesan semalam, menjadikan semua 10 kes bermula 26 Julai lalu hanya membabitkan Clade ll saja.

Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, pesakit Mpox ini membabitkan seorang lelaki tempatan yang tiada sejarah perjalanan ke luar negara.

Pesakit tersebut menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu, manakala ruam pula mula muncul sehari selepas itu.

“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan stabil.

“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” katanya.

Susulan itu, KKM sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam bagi memantau situasi mpox serta menyelaraskan langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.

Dr Muhammad Radzi turut menasihatkan orang ramai meningkatkan kawalan kesihatan kendiri dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Orang ramai juga boleh mengambil langkah termasuk individu berisiko tinggi yang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam serta lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti Mpox termasuk hubungan seksual dan amalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” katanya.