Pada pertengahan September lalu satu Malaysia digemparkan dengan kes penculikan ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu. Mangsa kemudian berjaya diselamatkan pada akhir bulan yang sama.

Hari ini seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menculik seorang wanita, pada 13 September lalu, lapor Harian Metro.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Bagaimanapun, tertuduh, Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menculik.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat jam 5.06 petang, pada 13 September 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh membawa lari mangsa ke Thailand.

Mohd Firdaus Zainal Abidin memohon mahkamah supaya membenarkan tertuduh dijamin memandangkan kes itu pramatang kerana ia belum dibicarakan.

Hakim tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana kes itu berisiko berikutan membabitkan nyawa orang lain dan ia dilakukan secara kumpulan serta kemungkinan dirancang dan tertuduh ditangkap di Thailand.

“Jika diberikan jaminan kemungkinan tertuduh melarikan diri itu tinggi,” katanya.

Mahkamah juga menetapkan 20 Januari tahun depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan penetapan tarikh bicara.

Terdahulu, Rosnazirah yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki pada 13 September dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui.