Malaysia mencipta sensasi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas menjuarai acara regu Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 setelah dengan penuh bergaya menundukkan Thailand 2-0 sebentar tadi.
Trio Syahir Rosdi (Tekong), Azlan Alias (Pelibas) dan Farhan Adam (Pengumpan) beraksi dengan cukup meyakinkan untuk meruntuhkan ego Thailand yang dibarisi Sittipong Khamchan (digantikan Thinbangbon) selaku tekong, Varayut Jantarasena (Pelibas) dan Yodsawat Uthaijaronsri (Pengumpan).
Kemampuan hebat Syahir dalam mencipta variasi servis, libasan serta ‘blocking’ mantap dari Azlan dan ketenangan umpanan Farhan menjadi ramuan secukup rasa buat skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu untuk menggembirakan penyokong setia negara.
Keadaan tersebut membuatkan kem Thailand cukup tertekan dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Malaysia untuk menang set pertana 15-12.
Kecemerlangan itu diteruskan pada set kedua dengan kemenangan lebih mudah 15-9 untuk memastikan kejuaraan Asia dalam acara regu menjadi milik Malaysia.
Kemenangan ini juga sekali gus menebus kekalahan skuad negara ditangan Thailand dalam acara Quadrant dan Double.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB), Hannah Yeoh bersama-sama Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato Sumali Reduan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan TM, Encik Amar Huzaimi Md Deris.
Esok, kem negara akan turun pula dalam misi untuk meraih kejuaraan acara berpasukan.