Gangguan bekalan elektrik besar-besaran (massive black out) yang melanda Sepanyol dan Portugal baru-baru ini telah menjejaskan kehidupan seharian jutaan penduduk di Semenanjung Iberia.
Kejadian itu bermula sekitar tengah hari pada Isnin, 28 April 2025, apabila sistem grid elektrik mengalami kerosakan mengejut yang menyebabkan bekalan terputus di hampir keseluruhan wilayah kedua-dua negara.
Baca Juga:
- Negara Haram Koyak! Ireland, Norway Dan Sepanyol Iktiraf Negara Palestin
- Bukan ‘Level ASEAN’, Indonesia Sedia Lawan Belanda, Sepanyol Dan Portugal
Keadaan ini menyebabkan pengangkutan awam seperti kereta api dan metro terhenti, lampu isyarat tidak berfungsi, serta gangguan kepada perkhidmatan komunikasi dan internet.
Hospital-hospital terpaksa menggunakan penjana kecemasan manakala ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang dan stesen metro.

Menjelang pagi Selasa, usaha pemulihan telah menunjukkan hasil yang ketara. Lebih 99% bekalan elektrik di Sepanyol berjaya dipulihkan, manakala di Portugal, 6.2 juta daripada 6.5 juta isi rumah telah kembali menerima bekalan elektrik, lapor The Guardian.
Namun begitu, beberapa perkhidmatan awam seperti stesen metro di Madrid masih belum dapat beroperasi sepenuhnya. Pihak berkuasa kedua-dua negara telah mengisytiharkan situasi darurat di beberapa kawasan terjejas dan mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan.
Negara jiran seperti Perancis dan Maghribi turut menghulurkan bantuan dengan menyalurkan bekalan tenaga kecemasan bagi mempercepatkan proses pemulihan.
Apa punca ‘Black Out’?

Punca sebenar gangguan masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa. Antara teori awal yang dikemukakan termasuk fenomena atmosfera yang luar biasa sehingga mengganggu talian voltan tinggi serta kemungkinan berlaku kerosakan pada infrastruktur di selatan Perancis.
Walau bagaimanapun, tiada bukti yang menunjukkan serangan siber sebagai punca kejadian massive black out itu.
Insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap daya tahan sistem grid elektrik serantau, terutamanya dalam era penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang semakin meluas dan cabaran perubahan iklim yang semakin mendesak.