Sepanyol meneruskan kecemerlangan dengan menjulang trofi Euro 2024 selepas berjaya menundukkan England 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Olympiastadion, Berlin sebentar tadi.

Kejayaan manis itu merupakan kejuaraan kali keempat dimenangi oleh Sepanyol dimana sebelum ini mereka menjuarainya pada 1964, 2008 dan 2012.

Baca Juga:

Satu pencapaian yang menjadikan Sepanyol sebagai pasukan yang memenangi kejuaraan Euro terbanyak dalam sejarah kejohanan tersebut.

Aksi bagaimanapun tidak banyak yang dapat diperkatakan pada babak pertama walaupun Sepanyol lebih menguasai permainan dan mempamerkan aksi tersusun.

Suhu permainan bertambah menarik ketika memasuki separuh masa kedua dengan Nico Williams membuka tirai jaringan pada minit ke-47.

Berpunca daripada gerakan lincah Lamine Yamal, beliau kemudiannya melakukan hantaran kepada Wiliams yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Jordan Pickford dalam kawasan penalti bagi meletakkan Sepanyol dihadapan.

Pemain sayap yang berusia 22 tahun itu terus memberikan ancaman ke kubu England tetapi percubaannya pada minit ke-56 hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.

Kemasukan Cole Palmer yang menggantikan Kobbie Maino nyata membuahkan hasil selepas beliau kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi percubaan ‘placing’ dari luar kawasan penalti.

Yamal hampir memberikan kelebihan buat skuad kendalian Luis De La Fuente itu pada minit ke-82 tetapi percubaan leretnya dalam kawasan penalti diselamatkan Pickford.

Pemain gantian, Mikel Oryazabal muncul wira buat La Roja apabila beliau berada di kedudukan tepat untuk menyambar hantaran lintang Marc Cucurella untuk menghadiahkan kejuaraan Euro 2024 buat Sepanyol.