Aku duduk di kerusi paling belakang dalam bilih mahkamah bernombor 55.
Siren berbunyi, hakim duduk, kami pun bangun tanda hormat kepada dewan keadilan yang mulia.
Yasmin duduk di kandang saksi. Peguam bela Orang Kena Tuduh (OKT), seorang lelaki bangun sedia memulakan hujahan balas.
“Setujukah Yasmin kalau saya cadangkan….”
Aku cuba memberi fokus pada prosiding tapi fikiran mengelamun teringat semula macam mana aku terheret dalam tragedi yang bertajuk #JusticeForBella ini. Bermula dengan mesej daripada aplikasi Whatsapp dari Mommy, seterusnya perbualan telefon yang panjang, melihat gambar dan video yang mengoyak perasaan.
Akhirnya hari itu, dengan segala perasaan dan kekecewaan, aku tuliskan semua yang Mommy cerita tentang betapa dasyat, sakit dan seksanya Bella di media sosial ini untuk tatapan dan bacaan seluruh rakyat Malaysia.
Akibatnya, tidak lama selepas itu aku dipanggil ke IPK Wilayah Persekutuan. Hantaran yang aku tulis telah dilapor dan aku perlu disiasat. Dari pagi membawa ke petang menunggu giliran dan bersoal jawab. Selesai memberi keterangan, telefon aku pula diambil sebagai bahan bukti kes.
“Kita perlu bukti semua ni encik, untuk menguatkan pertuduhan nanti,” lebih kurang begitu kata pegawai sambil memasukkan telefon aku ke dalam bekas khas.
Selang beberapa minggu selepas itu, aku terima lagi panggilan dari pegawai IPK – kali ini mereka mahukan aku hadir ke Pejabat Peguam di Putrajaya. Laporan yang aku berikan dulu katanya tak lengkap, dan bahagian pendakwaan mahu aku jawab lagi beberapa soalan tambahan.
Ahhh itu semua kenangan.
Hari ini aku duduk dalam kamar mahkamah melihat kukuhnya mental dan emosi Yasmin menjawab dengan tenang, tegas dalam menjelaskan satu persatu tentang apa yang telah berlaku pada Bella. Mungkin itulah kebenaran hari-hari pahit yang dia lalui selama berada di pusat jagaan, dan kebenaran menjadi saksi hidup betapa dasyatnya penyiksaan yang dilalui oleh Bella saban hari.
Makan tahi, makan muntah, jirus air panas, sepak terajang, dibiarkan lapar dahaga, ikat kaki tangan, tembak air panas. Mendengar cerita sebegini kita hanya mampu bagi maki hamun dalam air mata.
“Lebih 1,200 biji cili Bella makan, setuju?”
Aku tersedar semula bila peguam bertanya Yasmin tentang jumlah cili.
“Saya tidak pasti,” begitu jawab Yasmin.
Aku tersenyum. Teringat semula adegan drama filem yang berkisar babak di dalam mahkamah, di mana kita disajikan dengan soalan-soalan teknikal yang mengelirukan ingatan, dan soalan berulang supaya saksi terbabas jawapan.
“Tidak kira lah berapa jumlah cilinya bro, pokok pangkalnya memang Bella tu kena paksa makan cili, lukanya kena tonyoh cili, mata dia kena kesat cili!” Aku jawab sendiri dalam hati.
Tidak dapat aku bayang macam mana rasanya luka yang masih baharu, yang berkudis, bernanah ditenyeh pula dengan cili.
Pedas! Panas! Pedih! Perit!
Bercakap tentang cili pedas panas yang dipaksa telan ke mulut Bella, membawa aku kepada ingatan tegas seperti yang diabadikan dalam Surah An Nisa ayat ke-10;
Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api dalam perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).
Aku cuba merenung dalam akan maksud amaran Tuhan yang sangat tegas ini.
Bella tiada ibu tiada bapa, tiada waris, tiada sesiapa pun di dunia ini yang mengaku ada pertalian darah dengannya. Maka Bella telah memenuhi segenap ciri anak yatim malahan piatu, malahan lebih dari itu nasib malangnya bersama penyakit down syndrome.
Ya penjaganya tidak makan harta Bella, tetapi lebih teruk dia mendera Bella. Kalau memakan harta anak yatim itu sudah Tuhan hukumkan ibarat menelan api neraka ke dalam perut; entah macam mana lah hukumannya nanti kepada seorang pendera anak yatim piatu down syndrome yang dicurah air panas? ditenyeh, dicili? disuruh makan tahi? disuruh makan muntah?
“…jadi boleh saya cadangkan yang sebenarnya mendera Bella bukanlah OKT, tetapi kamu Yasmin dan Aida! kamu setuju?”
Sekali lagi aku tersentak apabila mendengar soalan peguam. Hendak juga ketawa tapi aku tahankan, kerana aku tahu memang itu kerja peguam yang dibayar untuk membela anak guam. Buktikan apa saja, kilaskan apa saja, carikan apa saja kesilapan catat laporan, cadangkan apa saja, buatlah apa saja – asalkan kemenangan nanti milik kita!
“Tidak setuju!” Bergema jawapan Yasmin memecah sunyi.
Saksi yang seorang ini sangat tenang dan tegas. Dia adalah saksi utama, saksi penting perbicaraan dalam memberi pembelaan kepada kesayangan seluruh rakyat Malaysia bernama Bella.
Mahkamah berhenti rehat.
Aku menemui Mommy di luar. Dia mengetik swafoto sebagai memori kecil untuk diingati.
Sedang kami berbual di koridor, OKT dan para peguambela keluar beramai ramai, berjalan beriringan, gembira bergelak ketawa.
Melihatkan Mommy, salah seorang daripada mereka menjerit;
“1,000 biji cili tu woihh”
Aku dan Mommy hanya mampu geleng kepala melihat gelagat sebegitu.
Tidakkah mereka tahu, yang Bella telah mendapat hadiah baju raya paling indah buat menutup segala parut luka duka nestapa?
Ya, itu lah Doa seluruh rakyat Malaysia yang akan menjadi persalinan Bella paling cantik di pagi hari raya nanti.
Kronologi kes Bella, kanak-kanak yang didera tanpa simpati oleh penjaganya. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.
Kronologi Kes Bella, Kanak-Kanak Yang Didera Tanpa Simpati Oleh Penjaganya
Kes Penderaan Bella, Wardina Dakwa Wujud Campur Tangan Pihak Ketiga?
Polis Lapor Kes Penderaan Anak Ke Atas Ibu Bapa Meningkat Semasa PKP