Netizen berasa geram dengan tindakan segelintir penyewa di salah sebuah rumah kos rendah di Seremban selepas culas dalam membayar sewa.

Menurut perkongsian Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di laman TikTok, terdapat beberapa penyewa yang culas dalam membayar sewa dimana salah seorang daripada mereka mempunyai tunggakan yang mencecah RM34 Ribu.

Baca Juga:

Jumlah ini adalah lebih daripada 18 tahun penyewa tersebut tidak membayar sewaan bulanan yang mana hanya RM150 sebulan.

Culas Bayar Sewa, MBS Kenakan Tindakan

Ekoran culas, MBS telah mengenakan hukuman terhadap penyewa iaitu menanggalkan pintu rumah pangsa kos rendah di Lobak.

Semasa operasi di Lobak, MBS mendapati bahawa sebahagian penghuni rumah pangsa itu bukanlah penyewa sebenar seperti dalam rekod MBS. Ini menimbulkan kecurigaan bahawa sesetengah mereka menyewakan unit berkenaan kepada orang lain.

Sewa
Sumber Gambar: MBS

“Kita telah hantar notis dan juga amaran supaya puan bayar sewa yang tertunggak tetapi sehingga hari ini anda masih gagal, cuai, enggan membayar tunggakan.

“Jadi kita dari MBS di sini untuk mengambil tindakan selanjutnya dengan membuka pintu.

“Walaubagaimanapun kami dapati puan bukan penyewa sebenarnya. Macam mana puan boleh masuk rumah ini? Puan penceroboh, tau?” kata seorang pegawai yang dirakam memberitahu seorang penyewa dalam video MBS mengenai kejadian itu pada 27 Februari lalu.

Mereka telah diberi notis penamatan perjanjian penyewa pada 31 Januari lalu dan tempoh pengosongan rumah juga telah berakhir pada 26 Februari lalu.

Sewa
Sumber Gambar: MBS

“Setelah tamat tempoh dan peluang yang diberikan, MBS telah mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.

“Walaupun begitu, penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat lain,” kata MBS.

Ini bukan kali pertama MBS bertindak sedemikian.

Pada Disember lalu, tindakan sama telah diambil terhadap penyewa di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi.

Majlis itu berkata ia akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tetap terhadap penyewa yang ingkar dan menasihatkan penyewa agar agar menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang telah ditetapkan.