Sepasang suami isteri terpaksa jadikan kereta Proton Perdana sebagai ‘rumah’ sejak dua minggu lalu, selepas dihalau dari kediaman flat didiami kerana gagal membayar sewa.

Kereta mereka dikelilingi pelbagai barangan peribadi selain ditutup dengan beg plastik lama dan kadbod.

Difahamkan penduduk sekitar Taman Bukit Kenangan berasa kurang senang dengan tindakan pasangan tersebut meletakkan ‘rumah Perdana’ mereka di situ kerana bimbang boleh mendatangkan bahaya pada masa akan datang, petik Harian Metro.

Sumber Gambar: New Straits Times

“Saya bersimpati dengan keadaan mereka, ini bukan tempat tinggal tetapi barang peribadi mereka sudah terkumpul dan kadang-kadang menghalang laluan orang ramai. Bahaya untuk warga emas dan kanak-kanak,” kata seorang pengumpul besi buruk.

“Situasi ini mengganggu dan sangat tidak bersih. Selain daripada barangan peribadi makanan turut dibiarkan terbuka dan itu menarik serangga dan haiwan perosak,” terang individu yang bertanggungjawab menguruskan kebersihan blok berkenaan.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk menjelaskan beliau telah menerima banyak aduan daripada penduduk membabitkan pasangan itu.

Menurutnya, beliau mengenali pasangan itu selama beberapa tahun dan menyifatkan pasangan itu sebagai pendiam namun tidak pernah mengganggu penduduk lain.

“Kebanyakan daripada kami tidak mempunyai masalah dengan mereka (mahu) tinggal di dalam atau berhampiran flat ini tetapi masalahnya, mereka membiarkan barang berselerakan dan menjejaskan pemandangan,” katanya.

Memetik laporan berita itu lagi, ahli jawatankuasa penduduk flat berkenaan, S Jeevanatham, 63, berkata, pasangan itu sudah beberapa kali menerima bantuan termasuk daripada pihak berkaitan.

Pihak kebajikan yang dihubungi melalui wakil pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang memaklumkan akan meneliti perkara itu.

“Saya tidak mahu memperbesarkan lagi perkara ini dan satu-satunya hasrat saya ialah dapat membantu mereka mencari rumah baharu atau dalam apa cara sekalipun,” katanya.

Sumber