Pelawak Shahrol Shiro memohon orang ramai menghentikan spekulasi yang mengaitkan pelantikannya sebagai tenaga pengajar kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan mana-mana ahli politik.
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 42, berkata pelantikannya itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan campur tangan atau lantikan politik.
“Saya mohon kepada anda semua, hentikanlah spekulasi yang mengatakan lantikan saya ini daripada ahli politik. Tiada kena mengena langsung,” katanya menerusi hantaran di Instagram, semalam.
Menurutnya, dia juga sedar latar belakang akademiknya yang ketika ini hanya di peringkat diploma, malah berharap pengajian Ijazah Sarjana Muda yang sedang diikuti dapat diselesaikan tahun ini.
Dipetik dari sumber BH Online, Shahrol Shiro berkata: “Saya sedar serta insaf saya ini hanyalah pemegang (graduan) diploma. Doakanlah semoga degree (Ijazah Sarjana Muda) saya habis tahun ini.
Shahrol mendedahkan kisah sebenar, bagaimana dia boleh ditawarkan jawatan tersebut. Segalanya bermula selepas pertemuannya dengan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Dr Norinsan Kamil Othman, pada tahun lalu.
Dalam pertemuan berkenaan, mereka berbincang mengenai pelbagai kursus Citra yang ditawarkan kepada mahasiswa sebelum tercetus idea untuk mewujudkan Citra Seni Komedi.
Shahrol kemudian bersama beberapa pelawak tempatan dijemput untuk menghadiri Malam Citra UKM dan membuat persembahan stand-up comedy.
Persembahan tersebut mendapat sambutan menggalakkan sebelum beliau akhirnya ditawarkan untuk menjadi tenaga pengajar sambilan.
Menurut Shahrol, gabungan antara ilmu akademik yang dibawa pihak universiti dengan pengalaman penggiat industri mampu memberikan manfaat kepada mahasiswa.
“Bagi saya, universiti membawa akademik, orang industri (seni) membawa pengalaman di lapangan. Apabila kedua-dua ini bertemu dan bersatu, insya-Allah akan membawa manfaat kepada adik-adik mahasiswa,” katanya.
Pelawak Shahrol Shiro memohon spekulasi mengaitkan pelantikannya sebagai tenaga pengajar kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkait dengan lantikan politik diberhentikan.
Berita penuh: https://t.co/EPawRh3ahR pic.twitter.com/lGd2pZPwyE
— Berita Harian (@bharianmy) September 29, 2026
Dalam pada itu, Shahrol turut menyifatkan UKM sebagai antara universiti terawal yang memberikan sokongan terhadap seni komedi.
Katanya, sejarah rakaman sitkom legenda Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga pernah berlangsung di Panggung Eksperimen UKM yang kini dikenali sebagai Panggung Seni UKM.
Sementara itu, Pusat Komunikasi Korporat UKM menjelaskan pelantikan Shahrol di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) adalah sebagai pengajar sambilan kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang memberi pengkhususan kepada stand-up comedy.
UKM dalam kenyataannya di Facebook turut menegaskan bahawa peranan Shahrol hanya membabitkan latihan amali dan praktikal, bukannya pengajaran dalam kuliah.
Pelantikan itu, menurut UKM, dibuat berdasarkan pengalaman Shahrol sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.
Kursus Citra UKM (Seni Lakon) pula merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai seni persembahan, khususnya asas lakonan dan persembahan.
𝐊𝐞𝐧𝐲𝐚𝐭𝐚𝐚𝐧 𝐔𝐊𝐌
Shahrol Shiro Dilantik Sebagai Pengajar Kursus Citra di UKM. #Tekad57 #UniversitiKebangsaanMalaysia#ImanIlmuAmal#UKM#UKMSharing pic.twitter.com/TaP4gPFcxT
— UKM (Malaysia) (@ukm_my) September 28, 2026
Isu pelantikan Shahrol sebelum ini menjadi perdebatan di media sosial apabila segelintir netizen mempersoalkan kelayakan akademiknya untuk memegang peranan berkenaan.