Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke pangkuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan tamatnya penugasan beliau secara pinjaman kader sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan ketetapan berhubung perkara tersebut telah dicapai pada minggu lalu.
“Dia adalah kader polis ke AKPS. IGP (Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail) dah jelaskan. Jadi kita kembalikan dia pulang kepada pasukan polis dan pihak polis akan menyusullah (mengambil tindakan lanjut),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN, di sini, hari ini.
Memetik Berita Harian, mengulas mengenai calon pengganti bagi mengisi jawatan Ketua Pengarah AKPS yang dikosongkan itu, Saifuddin secara ringkas menyatakan ia akan diisi oleh pegawai daripada pasukan polis.
Perkembangan ini menyusul selepas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, semalam yang menjelaskan bahawa status perkhidmatan Shuhaily di AKPS telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan.
Menurut Mohd Khalid, rujukan kepada AGC perlu dibuat kerana pelantikan berkenaan membabitkan kontrak peminjaman kader daripada PDRM selama dua tahun yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, sebarang ketetapan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatan beliau perlu dinilai dari sudut perundangan sebelum diangkat semula untuk perkenan Seri Paduka Baginda, selain diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan seterusnya.
“Sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya,” jelas beliau ketika ditemui pada Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026, semalam.
Terdahulu, pihak KDN menerusi satu kenyataan menegaskan bahawa urusan pentadbiran dan perkhidmatan membabitkan Shuhaily masih di peringkat untuk dimuktamadkan, di samping mengambil maklum pandangan yang disuarakan masyarakat berhubung isu berkenaan.