Ada sahaja helah banduan dalam menyeludup masuk barang terlarang seperti rokok, dadah atau telefon pintar ke dalam penjara.
Dari guna dron, sorok dalam bungkusan roti dan kini mereka menggunakan cara yang lebih halus iaitu menggunakan mahluk berbulu yang disayangi ramai iaitu seekor kucing.
Memetik laman BuletinTV3, di Penjara Pococi, Costa Rica, seorang pegawai penjara telah berjaya menahan seekor kucing yang disyaki menjadi pengantara untuk membawa bungkusan dadah yang dilekatkan pada badannya.
Kebetulan jumpa sewaktu rondaan

Kenyataan media yang dibuat oleh pihak penjara menerusi media sosial, insiden luar biasa ini berlaku sewaktu pegawai berkenaan sedang melakukan rondaan rutin di zon hijau penjara itu.
Pegawai yang bertugas pada ketika itu terserempak dengan seekor kucing dan berjaya menangkap haiwan tersebut.
Selepas pemeriksaan dijalankan ke atas kucing itu, pegawai penjara terkejut apabila menemui dua bungkusan dadah yang mengandungi sejumlah 235.65 gram ganja dan 67.76 gram kokain.
Pihak penjara kemudiannya merampas kesemua bahan terlarang itu.
Mendapatkan nama khas
Kucing yang diberi gelaran ‘Narcomichi’ itu diserahkan kepada Perkhidmatan Kesihatan Haiwan Kebangsaan (SENASA) untuk menjalani penilaian kesihatan.