Dunia digital tempatan gempar lagi dengan isu keselamatan siber. Kali ini, platform tempatan Misi Rakyat menjadi bualan hangat selepas tular dakwaan bahawa pangkalan data mereka telah dibocorkan dan ditawarkan untuk jualan di arena dark web.

Data Siapa Yang Terlibat?

Isu ini mula mendapat perhatian ramai selepas akaun pemantau keselamatan siber, Dark Web Intelligence, berkongsi tangkapan skrin mengenai jualan pangkalan data berkenaan.

Mengikut maklumat yang dikemukakan oleh penggodam, data bertarikh 7 September 2026 itu merangkumi pelbagai lapisan pengguna platform tersebut.

Penggodam mendakwa memegang maklumat peribadi lebih 300,000 pelanggan yang mengandungi nama, emel, nombor telefon, serta koordinat alamat kediaman.

Selain itu, rekod lebih 22,000 penghantar barangan atau rider turut terjejas, termasuk nombor kad pengenalan, maklumat lesen, nombor plat kenderaan dan lokasi GPS semasa.

https:/twitter.com/DailyDarkWeb/status/2097083245900988700?s=20

Tidak ketinggalan, data milik 28,562 vendor serta rekod anggaran 1.88 juta transaksi e-dompet turut didakwa berada dalam senarai jualan.

Netizen Bimbang, Mana Respon Founder?

Penggabungan data peribadi, perbankan, dan lokasi fizikal secara tepat ini disifatkan penganalisis keselamatan sebagai sangat berisiko.

Ia bukan sahaja membuka ruang kepada jenayah penipuan perbankan atau pancingan data, malah boleh menimbulkan ancaman keselamatan fizikal kepada pengguna.

Rata-rata pengguna Misi Rakyat meluahkan rasa cemas dan mempersoalkan tahap perlindungan data aplikasi berkenaan.

“Habis maklumat lokasi dengan nombor kad pengenalan kita. Macam mana keselamatan data pengguna disimpan sebenarnya?” luah seorang pengguna di media sosial.

Seorang lagi netizen menambah, “Kami guna aplikasi ini sebab nak sokong ekosistem tempatan, tapi bila perkara macam ini berlaku, memang rasa tak selamat langsung.”

Suasana menjadi semakin tegang apabila ruang komen di media sosial dibanjiri desakan agar pihak pengurusan tampil memberi penjelasan.

Namun sehingga kini, pengasas Misi Rakyat dilaporkan masih memilih untuk berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan kebocoran tersebut.

Belum Disahkan Secara Rasmi

Perlu diingatkan bahawa kesahihan dakwaan penjualan data ini masih belum disahkan secara bebas oleh pihak berkuasa tempatan mahupun pakar keselamatan siber.

Sungguhpun begitu, pengguna disarankan untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang mesej atau panggilan mencurigakan daripada pihak yang tidak dikenali buat masa ini.

Sumber