Bayangkan sedang berjalan di sebalik belukar tebal di sepanjang rizab sungai, tiba-tiba anda terjumpa sebuah perkampungan rahsia yang lengkap dengan rumah, reban ayam, kebun kecil, dan sistem amaran sendiri.
Itulah situasi mengejutkan yang ditemui di kawasan Sungai Batu baru-baru ini.
Kewujudan penempatan yang dipercayai diduduki oleh warga asing dan pelarian Myanmar ini terbongkar selepas sekumpulan individu bersama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melakukan tinjauan mengejut di lokasi berkenaan.
Salakan anjing jadi loceng amaran
Ketibaan kumpulan pendedah ini disambut dengan salakan riuh puluhan anjing yang dipelihara di kawasan tersebut.
Haiwan-haiwan ini bukannya sekadar haiwan peliharaan biasa, sebaliknya bertindak sebagai penggera awal untuk memberi amaran kepada penghuni sekiranya ada pihak luar yang menghampiri.
Zarif Syarafuddin Sufi, 24, yang menyertai misi tersebut bersama NGO Surplus menceritakan kembali detik sewaktu mereka melangkah masuk ke kawasan berkenaan.
“Masa kami mula masuk, anjing-anjing di situ menyalak dengan sangat kuat. Kami syak salakan itulah yang menjadi petanda buat mereka untuk segera melarikan diri ke dalam semak,” kata Zarif.
Temui nași panaș dan bot
Meskipun penghuninya ghaib melenyapkan diri ke dalam belukar, bukti kehidupan harian mereka masih jelas dan terasa sangat ‘hidup’.
“Bila kami sampai, mereka semua memang dah tiada. Tapi jejak yang ditinggalkan sangat jelas, malah nasi dan lauk di atas meja makan mereka masih lagi panas,” tambah Zarif. lapor Buletin TV3.
Pemeriksaan lanjut di sekitar penempatan haram itu turut menemui contengan tulisan dipercayai bahasa etnik Rohingya pada dinding rumah.
Kawasan rizab sungai tersebut bukan sahaja dibina tiga buah rumah kediaman, malah mempunyai kebun pisang dan keladi.
Lebih kreatif tetapi membimbangkan, mereka turut membina bot sendiri menggunakan tong plastik untuk kegunaan menjala ikan.
Di situ juga, pihak tinjauan menemui kira-kira 50 kilogram ikan talapia yang disimpan rapi di dalam tong untuk dijual di pasar berdekatan, selain penyambungan paip air haram.
Malah di bawah jambatan berhampiran, terdapat kira-kira sembilan buah rumah lagi yang disyaki diduduki warga Bangladesh.
Tindakan bersepadu perlu dilakukan
Pendedahan ini dibuat bagi membuka mata masyarakat dan pihak berkuasa agar tanah rizab negara tidak sewenang-wenangnya diceroboh seolah-olah tiada undang-undang yang terpakai.
Isu ini turut mendapat perhatian pihak penguat kuasa. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan bahawa isu struktur penempatan haram secara fizikal berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pihak kami mengambil maklum perkara ini dan akan berbincang dengan agensi penguat kuasa lain bagi tindakan lanjut, khususnya membabitkan pemeriksaan dokumen berkenaan,” jelas beliau.
Kejadian ini menjadi peringatan mesra buat kita semua agar sentiasa peka dengan persekitaran, terutamanya jika melihat sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di kawasan kediaman masing-masing.