Berkunjung ke Mesir untuk melawat salah satu simbol kebanggaan mereka, iaitu Piramid adalah salah satu impian bagi semua orang. Bongkah batu besar yang membentuk satu segi tiga dengan bucu tajam dihujungnya begitu menangkap mata dan kelihatan berpuluh-puluh kilometer jauhnya.

Susunan bongkah batu yang besar dan melebihi saiz seorang manusia memerlukan satu usaha yang luar biasa untuk membinanya. Namun persoalannya yang selalu bermain di fikiran adalah; siapakah yang berjaya membangunkan seni bina yang kini dianggap sebagai salah satu keajaiban dunia?

Kebanyakan teori yang bermain di internet menyatakan bahawa orang yang bertanggungjawab membina Piramid ini adalah hamba dari kaum Yahudi. Sebahagian ilmuwan pula menyatakan bahawa ia dibina oleh penduduk kota Atlantis yang hilang dan lebih taksub lagi adalah bilamana ada orang yang menyatakan bahawa ia sebenarnya dibina oleh sekumpulan makhluk asing.

1491585452004
Travel Chanel

Namun, melalui laporan Live Science, ia menyatakan bahawa tidak ada satu teori pun yang berjaya mengemukakan satu bukti kukuh untuk menyokong idea mereka.

Jika kaum Yahudi menyatakan bahawa mereka telah diperhambakan untuk membina piramid ini, ia tidak boleh dibuktikan kerana tidak ada peninggalan arkeologi yang secara langsung menghubungkan ia dengan orang Yahudi ketika Piramid ini dibina sekitar 4,500 tahun yang lalu.

Manakala sebahagian kisah dalam kitab Ibrani yang merujuk orang Yahudi dijadikan hamba di Mesir sebenarnya merujuk kepada sebuah kota bernama Ramesses yang didirikan pada zaman dinasti ke-19. Kota yang namanya diambil dari Raja Ramesses II ini dibina setelah era pembinaan Piramid berakhir di Mesir.

Kheops-Pyramid
Wikipedia

Seorang ahli arkeologi Israel, Finkelstein dan Neil Asher Silberman menulis di dalam buku mereka The Bible Unearthed: Archaeology’s New Vision of Ancient Israel and the Origin of its Sacred Texts menyatakan bahawa mereka tidak menemukan petunjuk, bahkan bukti yang menunjukkan bahawa wujud kaum Yahudi ketika Piramid dibina.

Dan segala bukti arkeologi pula menunjukkan bahawa piramid tersebut dibina oleh orang Mesir kuno. Bagaimana cara mereka membinanya dan adakah wujud aktiviti penghambaan sewaktu pembinaan piramid terbabit masih menjadi misteri sehingga sekarang.

Untuk rekod, Mesir mempunyai lebih 100 piramid kuno. Yang paling terkenal adalah piramid yang dibina semasa zaman pemerintahan Firaun Djoser sekitar tahun 2611-2630 SM dan piramid yang dibina semasa pemerintahan Firaun Snefru sekitar tahun 2551-2575 SM. Piramid Giza pula dibina semasa zaman Firaun Khufu sekitar 2528-2551 SM.

wifivox-egyptian-pyramids
Wifivox

Secara perlahan-lahan, para Firaun ini mula memilih untuk dikebumikan di Lembah Raja-Raja, yang terletak 483 kilometer ke selatan Giza. Sejak itu, mereka mula perlahan-lahan berhenti membina piramid semasa Kerajaan Baru.

Menurut catatan yang masih ada, termasuk papirus (sejenis tumbuhan yang batangnya dibuat kertas) yang dijumpai pada tahun 2013 di Wadi al-Jarf di sekitar pantai laut Merah Mesir. Para arkeologi menemui bukti bahawa wujud sekumpulan pekerja membantu membawa bahan binaan ke Giza.

Catatan itu menceritakan bagaimana 200 orang yang dipimpin oleh seorang mandor bernama Merer mengangkut batu kapur dengan kapal menyusuri Sungai Nil, 18 kilometer dari Tura, ke Piramid Besar, di mana ia digunakan untuk membangunkan struktur luar monumen.

Pyramid of Giza 1
Architectural Digest

Bagaimanapun, catatan yang dijumpai masih dalam proses analisis dan huraian. Tetapi hasil awal menunjukkan bahawa kumpulan pekerja Merer telah berperanan membangunkan piramid Mesir. Dicatatkan bahawa pekerja ini telah melakukan perjalanan jauh dari Mesir ke Gurun Sinai bagi melaksanakan projek pembinaan yang diarahkan ke atas mereka.

Namun ahli arkeologi masih mencari jawapan adakah mereka ini pekerja tetap yang profesional dengan pembinaan seni bina atau sebenarnya mereka adalah petani biasa yang diarahkan untuk membantu pembinaan piramid di Mesir.

Tambah catatan Papirus itu lagi, para pekerja telah dihidangkan makanan seperti kurma, sayur-sayuran, ayam dan daging. Kata Pierre Tallet, seorang profesor Mesirologi di Universiti Paris-Sorbonne yang menerjemahkan papirus dan merupakan ketua pasukan penyelidik, selain diet yang sihat, papirus turut menyatakan bahawa para pekerja turut menerima tekstil yang dianggap sebagai upah iaitu pengganti kepada tunai pada masa itu.

y6g0PbzEZ
Triptedia

Sementara itu, menurut Mark Lehner, pengarah Persatuan Penyelidikan Mesir Kuno (AERA), sebuah institusi penyelidikan yang berpusat di Massachusetts, pegawai tinggi yang terlibat dalam pembinaan piramid pula telah menerima upah berbentuk sebidang tanah.

Melalui laporan ahli arkeologi, difahamkan bahawa penduduk kota Giza biasanya menghidangkan makanan dalam jumlah yang besar. Menurut analisis tulang haiwan yang terdapat di lokasi dan mengambil kira keperluan pemakanan pekerja, ahli arkeologi menganggarkan bahawa kira-kira 1,800 kilogram daging haiwan disediakan setiap hari, termasuk lembu, domba dan kambing bagi menyokong pekerja yang membina piramid.

Namun, ini tidak bermaksud bahawa semua pekerja mempunyai hak yang sama rata. Penggalian AERA menunjukkan bahawa beberapa pegawai tinggi tinggal di rumah besar yang dihidangkan dengan daging terpilih. Sebaliknya, para penyelidik mengesyaki bahawa pekerja yang berada di posisi paling rendah cenderung tidur di kediaman sederhana atau bahkan tidur bersandar pada batuan keras yang membentuk piramid.

Rekaan konsep rumah piramid yang futuristik. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Rekaan Konsep Rumah Piramid Yang Futuristik

Mahu Rakam Puncak Piramid Dengan Drone, Lelaki Malaysia Ini Ditahan Polis Mesir

6 Foto Menarik Dari Puncak Piramid Hasil Pendakian Haram Sekumpulan Anak Muda