Dalam sebuah video TikTok yang viral dengan lebih 352,300 tontonan, pengguna @thaqibshaker menjelaskan salah faham besar mengenai peraturan parkir Orang Kurang Upaya (OKU) yang sering diabaikan oleh orang ramai mengenai siapa yang layak untuk meletakkan kenderaan di sini.
Menurut @thaqibshaker, parkir OKU hanya dikhaskan untuk individu yang mengalami kekurangan fizikal seperti pengguna kerusi roda atau individu yang kehilangan anggota badan.
Ini bermaksud, tidak semua pemegang kad OKU layak menggunakan ruang parkir khas ini.
“Parkir OKU eksklusif untuk mereka yang mengalami kekurangan fizikal sahaja, bukan untuk individu dengan kekurangan mental,” jelasnya dalam video tersebut.
Namun, ada lagi syarat tambahan yang mungkin ramai tidak tahu.
Selain mempunyai kecacatan fizikal, individu tersebut juga perlu mendapatkan pelekat khas OKU yang disahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Proses permohonan pelekat ini hanya boleh dilakukan melalui laman web JPJ.
Menariknya, pencipta kandungan ini sendiri adalah pemegang kad OKU dan akui bahawa beliau tidak layak menggunakan parkir OKU kerana kecacatannya adalah mental, bukan fizikal.
Dalam videonya, @thaqibshaker turut menegaskan bahawa walaupun seseorang mempunyai kecacatan fizikal, mereka tetap tidak boleh menggunakan parkir OKU tanpa pelekat rasmi JPJ.
Jika seseorang didapati meletakkan kenderaan di ruang parkir OKU tanpa kelulusan yang betul, tindakan menegur mereka adalah wajar.
Kalau ada orang yang parkir di tempat OKU tanpa pelekat JPJ yang sah, orang awam berhak untuk meminta mereka alihkan kenderaan ke ruang parkir biasa.
Video ini telah membuka mata ramai, khususnya mengenai kepentingan menghormati peraturan parkir OKU.
Ia bukan sahaja demi hak golongan OKU, tetapi juga untuk memastikan ruang parkir tersebut tidak disalahgunakan oleh mereka yang tidak layak.