Perlawanan pertama peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) Elite 2026/27: Johor Darul Ta’zim (JDT) lawan Buriram United [15 September 2026, 8:15 malam]

Para peminat bola sepak tempatan kini boleh menyaksikan siaran langsung saingan elit bola sepak Asia melibatkan wakil tunggal negara iaitu JDT di Iskandar Puteri.

Perlawanan Pertama ACL Elite 2026/27

Johor Darul Ta’zim (JDT) lawan Buriram United

Sepak mula: 8:15 malam, 15 September 2026 (Selasa)
Tempat: Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri
Link Siaran Langsung: Astro Arena Bola 803, Youtube AFC Hub (Akses VPN)

Astro Arena merupakan satu-satunya stesen televisyen tempatan yang mendapat hak penyiaran pertandingan AFC seperti ACL Elite 2026/27.

Jika tidak menyaksikannya di kaca televisyen, anda perlu memiliki aplikasi Astro Go atau langganan Sooka untuk menonton perlawanan menarik ini secara ‘Live Streaming’.

Misi Penting JDT Pada Aksi Pembukaan ACL Elite 2026/27

JDT tidak pernah menundukkan wakil dari Thailand itu dalam kancah saingan ACL Elite sejak 2024.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini hanya mampu mencatatkan dua keputusan seri dan mengalami dua kekalahan.

Namun kemenangan dicari akhirnya menjelma aksi separuh akhir kedua Piala Shopee 2025/26 di gelanggang lawan dengan keputusan 2-1. Bagaimanapun JDT masih gagal ke final kerana tewas menerusi agregat 3-4 susulan kekalahan aksi pertama di laman sendiri 1-3.

Dengan kehadiran beberapa muka baharu dalam pasukan terutamanya penyerang berbisa dari Iran, Shahab Zahedi, ia dilihat mampu untuk meningkatkan kekuatan skuad kendalian Xisco Munoz itu untuk meraih tiga mata penuh pada aksi pembukaan ACL Elite 2026/27 ini.

Melihatkan kepada prestasi semasa juga memihak JDT yang cemerlang dengan rekod 100 peratus kemenangan dalam aksi Liga Super dan Piala FA.

Malah, kelab gergasi tanah air itu sudah meledakkan 39 gol dalam tujuh perlawanan dilalui setakat ini. Satu statistik yang cukup untuk membuatkan Buriram United gentar.

Manakala Buriram United pula bakal turun dengan kekuatan baharu apabila membawa masuk hampir 10 pemain import baharu bagi mengharungi musim 2026/27.

Pengendali Buriram United, Mario Silva menambah kekuatan di jentera pertahanan dengan membawa masuk Uros Radakovic dari FC Nantes dan Nathan Pelae dari kelab Serie B Brazil, America-MG.

Khidmat peledak berbisa Guilherme Bissoli yang sudah menjaringkan empat gol dalam dua aksi liga amat ditagih Silva untuk menghampakan JDT.