Kemuncak Kejohanan Dunia Sepaktakraw Piala Raja Thai 2025 menyaksikan Malaysia bakal membuat perhitungan dengan Thailand dalam final acara regu berpasukan pada jam 4.30 petang nanti.

Kedua-dua negara menerima tamparan hebat dalam aksi separuh akhir acara Kuadran Lelaki kelmarin selepas Malaysia tewas kepada Jepun manakala Thailand pula dijinakkan Vietnam.

Baca Juga:

Perlawanan yang bakal berlangsung di Central Hatyai petang ini bakal menjadi pentas terbaik buat kedua-dua pasukan untuk menebus kehampaan tersebut.

Tambahan pula acara berpasukan lelaki sudah pastinya menjadi keutamaan buat Malaysia dan Thailand untuk memburu kejuaraan.

Final
Sittipong Khamchan bakal jadi sandaran Thailand. Kredit Foto: Sanamtakraw

Siaran Langsung Final Piala Raja Thai 2025

Bagi yang tidak berkesempatan untuk ke Hatyai bagi menyaksikan Piala Raja Thai 2025, para pencinta sukan tradisi ini masih boleh mengikuti perkembangan skuad negara dengan rapat menerusi siaran langsung di media sosial.

Anda boleh menyaksikan kesemua perlawanan melibatkan skuad Malaysia di laman Facebook Thai PBS dan The Takraw Association of Thailand.

Laman sesawang Thai PBS juga akan menyiarkan siaran langsung bagi gelanggang 1 dan 2.

Dalam pada itu, Youtube Thai PBS dan We Are Sepaktakraw turut memberikan lebih pilihan sekiranya anda lebih selesa untuk menonton di laman tersebut.

Acara regu berpasukan menyaksikan skuad negara sudah hampir 34 tahun gagal untuk menundukkan musuh tradisi tersebut dimana paling hampir adalah pada Piala Dunia 2024 apabila Malaysia tewas 1-2 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.

Final Piala Asia 2025 pula Malaysia tewas 0-2 ketika berhadapan dengan Thailand di gelanggang sama pada Mei lalu.