Selepas kejayaan kempen “Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu” tahun lalu yang berjaya mencatat rekod Malaysia Book of Records sebagai Siaran Radio Tanpa Henti Terpanjang di Gunung Kinabalu, Hot FM sekali lagi melakar sejarah dalam industri penyiaran radio.

Tahun ini, Hot FM melalui Bekpes Hot telah menganjurkan kempen Bekpes Hot Skuba, dan secara rasmi diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai First and Deepest Outdoor Underwater Live Radio Broadcast in Open Sea by Radio Personalities (10 meters depth for 90 minutes).

Bekpes Hot yang terdiri daripada penyampai popular Khairy Jamaluddin (KJ), Johan, Fara Fauzana dan AG menyelam ke dasar laut Pulau Bidong sambil bersiaran secara langsung dan melakukan aktiviti skuba. Misi ekstrem ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memerlukan persiapan teknikal rapi bagi memastikan siaran berjalan lancar walaupun berada di bawah permukaan air.

Tepat jam 10.00 pagi, dari Stesen Penyelidikan Alami Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pulau Bidong, Bekpes Hot bersama UMT Diving School dan disokong oleh Unit Tindak Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan misi menyelam, sebelum kejayaan bersejarah itu dimeterai pada jam 12.30 tengah hari.

Sijil pengiktirafan ASEAN RECORDS telah disampaikan oleh Eldrick Koh, Executive Director of ASEAN Records, kepada Bekpes Hot serta Shah Hayatudin, Pengarah Rangkaian Kumpulan, Media Prima Audio, sebagai simbol kejayaan membanggakan ini.

Hot FM sentiasa cari cabaran baharu

Pengarah Kandungan Kanan Hot FM, Raja Khairil Idris Raja Aznan, berkata: “Selepas menawan puncak tertinggi di Malaysia, kami mahu mencabar kebiasaan dan kali ini menawan ‘dunia sunyi’ di bawah laut.

“Cabaran ini membuktikan semangat juang, keberanian, dan inovasi yang menjadi DNA Hot FM. Inilah cara kami kekal relevan dan terus dekat di hati peminat.”

Siaran Langsung Radio Terdalam di Laut Terbuka, Hot FM Catat Rekod ASEAN

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari, Pengarah Program UMT, menegaskan bahawa kerjasama ini membuktikan keyakinan industri media terhadap kepakaran UMT dalam bidang kelautan dan sumber marin, khususnya aktiviti selam skuba.

Kempen ini turut mencatat sejarah di 10 negara Asia apabila buat pertama kalinya siaran radio langsung dari dasar laut menjadi kenyataan. Lebih membanggakan, Hot FM turut menurunkan monumen berbentuk mikrofon dan studio mini bawah laut sebagai simbol kejayaan yang secara tidak langsung menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem marin.

Pihak Hot FM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategik utama, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui UMT Diving School; rakan strategik lain iaitu Venticare Medical (M) Sdn Bhd dan IST Malaysia; serta penaja utama Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd melalui jenama Gardenia Puazz!.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Unit Tindak Khas (UTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA), semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, serta para peminat atas sokongan yang tidak pernah putus buat Hot FM.