Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) telah mewartakan pengambilan dua lot tanah pada hari Rabu (4 Jun) bagi tujuan pembangunan semula dan perluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands (Woodlands Checkpoint).

Lot-lot tanah tersebut kini dimiliki oleh kerajaan Malaysia, petik Channel News Asia (CNA).

Baca Juga:

Dalam satu kenyataan media bersama, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilan tanah tersebut.

“Kami akan meneruskan kerjasama kukuh dengan kerajaan Malaysia bagi mengukuhkan keterhubungan dan hubungan antara rakyat,” kata pihak berkuasa Singapura.

Kedua-dua lot tanah tersebut mempunyai keluasan keseluruhan sebanyak 0.79 hektar (1.9 ekar), iaitu sedikit lebih besar daripada sebuah padang bola sepak.

Kawasan itu dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan dan tidak digunakan, serta terletak berhampiran dengan bahagian tengah kawasan yang dirancang untuk pembangunan semula.

Singapura Akan Ambil Alih 1.9 Ekar Tanah Milik Malaysia, Buat Apa?
Sumber Gambar: CNA

Pengambilan tanah ini adalah sebahagian daripada rancangan ICA untuk membangunkan semula dan memperluaskan Woodlands Checkpoint secara berperingkat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Ia merupakan penyelesaian jangka panjang kepada kesesakan kronik di pintu masuk negara jiran itu.

Singapura mulakan kerja pada suku ketiga 2025
Singapura Akan Ambil Alih 1.9 Ekar Tanah Milik Malaysia, Buat Apa?
Sumber Gambar: Motorist

Di bawah Fasa 1 proses pembinaan, ICA akan membina peluasan Woodlands Checkpoint di Pusat Bandar Lama Woodlands.

Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025.

Peluasan ini akan merangkumi kemudahan pelepasan automatik baharu bagi kenderaan kargo dan kenderaan yang tiba.

Memetik laporan itu lagi, Lebuh Raya Bukit Timah (BKE) juga akan dipanjangkan untuk mewujudkan laluan terus bagi kenderaan yang keluar dari Woodlands Checkpoint ke lebuh raya tersebut, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan tempatan semasa waktu puncak.

Fasa-fasa berikutnya akan melibatkan pembinaan kemudahan pelepasan tambahan serta pengubahsuaian pusat pemeriksaan sedia ada.

Singapura Akan Ambil Alih 1.9 Ekar Tanah Milik Malaysia, Buat Apa?
Sumber Gambar: Motorist

Pembangunan semula penuh Woodlands Checkpoint bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pelepasan bagi semua jenis pengangkutan, mengurangkan masa perjalanan purata semasa waktu puncak kepada 15 minit serta meningkatkan tahap automasi dengan memasukkan sistem pelepasan imigresen automatik di dalam kenderaan.

ICA juga akan dapat menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi jauh daripada bangunan utama pusat pemeriksaan serta menyediakan kawasan menunggu untuk kenderaan di dalam pusat pemeriksaan bagi mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Bukit Timah (BKE) dan jalan-jalan sekitarnya.

“ICA akan terus memanfaatkan teknologi dan membangunkan penyelesaian inovatif bagi memudahkan perjalanan dan perdagangan rentas sempadan, sambil memastikan sempadan kita kekal selamat,” menurut kenyataan itu.

Sumber