Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) memberi amaran terdapat krim ekzema, ‘Euzema Confidence Revival Cream’ yang dijual di laman web runcit Malaysia dan di platform e-dagang Carousell, didapati mengandungi lebih 430 kali ganda had arsenik yang dibenarkan, termasuk logam toksik yang boleh menyebabkan keradangan dan keracunan kulit.

Memetik satu laporan, HSA memberi amaran kepada pengguna krim tersebut untuk berjumpa doktor secepat mungkin. Selain arsenik, HSA berkata krim itu juga merupakan steroid yang kuat yang boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan yang serius.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Krim itu adalah antara empat produk mengandungi bahan yang terlarang baru-baru ini ditemui di platform runcit.

Menurut laporan itu lagi, seorang lelaki berusia 30an mengalami radang kulit yang dipanggil purpura, di mana bintik merah keunguan muncul akibat pendarahan kecil di bawah kulit. Kesan itu terjadi selepas beliau menggunakannya selama satu tahun.

Doktornya telah melaporkan penemuan itu kepada HSA kerana mengesyaki tindak balas kulit yang buruk itu disebabkan oleh realgar, mineral yang mengandungi arsenik yang dilabelkan pada krim.

Sumber Gambar: Straits Times

Krim yang dibeli daripada laman platform online yang berpangkalan di Malaysia mendakwa bahawa ia ‘mampu merawat ekzema dengan formula semulajadi’, ‘bebas steroid’, ‘mengandungi 100% herba semulajadi’ dan ‘tiada kesan sampingan’.

Selepas ujian, HSA mendapati krim mengandungi lebih 430 kali had arsenik yang dibenarkan. Ia juga mengandungi tahap betamethasone yang sangat tinggi – steroid yang kuat dan berasid salisilik.

Arsenik boleh menyebabkan keradangan kulit dengan gejala seperti ruam dan lepuh, atau ruam yang mengakibatkan kulit mengelupas. Penggunaan secara berpanjangan produk yang mengandungi arsenik tahap tinggi boleh menyebabkan keracunan arsenik.

Sementara itu, betamethasone pula hanya boleh digunakan di bawah pengawasan perubatan yang ketat, kerana ia boleh menyebabkan kesan buruk yang serius jika digunakan secara tidak wajar.

Biasanya ditetapkan untuk keadaan keradangan, ia boleh menyebabkan tindak balas hipersensitiviti dan penipisan kulit. Jika diserap ke dalam badan, ia boleh menyebabkan sindrom Cushing.

“Penggunaan steroid jangka panjang boleh menyekat pengeluaran steroid badan, dan berhenti secara tiba-tiba tanpa pengawasan perubatan boleh menyebabkan sakit otot dan sendi, tekanan darah rendah dan sawan atau kejutan,” kata HSA.

Sementara itu, asid salisilik digunakan untuk merawat keadaan kulit biasa seperti jerawat, psoriasis dan kelemumur. Bagaimanapun ia boleh menyebabkan kulit kering dan merah jika digunakan dalam jumlah yang tinggi.

HSA telah bekerjasama dengan pentadbir platform tempatan untuk mengalih keluar penyenaraian yang terjejas, serta dua lagi penjual bagi membantu siasatan.

Mereka juga telah memaklumkan rakan sejawatannya dari Malaysia tentang produk tersebut, kerana ia dilabel untuk dikilangkan dan dijual oleh penjual atau laman web yang berpangkalan di Malaysia.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati apabila membeli produk daripada sumber yang tidak diketahui atau tidak dikenali secara online, dan hanya membeli daripada farmasi atau laman web peruncit yang dipercayai.