Pencipta House Of Cards Beau Willimon dan rakan penerbitnya di Westward, Jordan Tappis telah bekerjasama dengan SK Global untuk menghasilkan siri berdasarkan buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, yang berkisar mengenai skandal rasuah terbesar di Malaysia melibatkan syarikat 1MDB, lapor Hollywood Reporter.
Buku yang ditulis oleh wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope yang diterbitkan pada 2018 oleh Hachette Books, Billion Dollar Whale menawarkan sudut pandang dalaman skandal terbesar pengubahan wang haram, kekayaan kaum elit, perbankan, Hollywood, dan politik.
Buku tersebut menjadikan Jho Low sebagai watak utama yang menjadi dalang kepada rompakan besar-besaran melibatkan USD$ 5 bilion. Dia kini telah menjadi buruan antarabangsa, bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, Luxembourg, Switzerland dan Amerika Syarikat.
Buku itu menjadi buku terlaris New York Times dan dinamakan sebagai Buku Tahunan Financial Times 2018. Lebih setengah juta salinan berjaya dijual di seluruh dunia, termasuk lebih seratus ribu salinan berjaya dijual di Asia dan sehingga kini kekal sebagai buku terlaris.
Laporan Wright dan Hope mengenai aktiviti rasuah tersebut telah menyumbang kepada pendakwaan di seluruh dunia. Bukan itu sahaja, kes ini turut memain peranan penting dalam pilihan raya lalu, di mana bekas perdana menteri, Najib Razak tewas teruk dan didakwa di mahkamah.
“Di Westward kami tertarik dengan cerita yang mencerminkan kerumitan zaman yang kita hadapi, berpusat pada watak yang membingungkan dan mengejutkan,” kata Willimon dan Tappis dalam satu kenyataan. “Kami juga tertarik untuk menghidupkan cara inovatif bagi menghasilkan kerja dalam landskap hiburan yang berubah dengan cepat. Dengan David Henry Hwang menerajui, dan SK Global di pihak kami, projek ini membolehkan kami melakukan kedua-duanya.”
John Penotti dari SK Global, Charlie Corwin dan Marcy Ross akan berkhidmat sebagai penerbit eksekutif bersama Willimon dan Tappis dalam siri ini. Selain itu, bintang kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh difahamkan bakal turut membarisi kerusi penerbit.
Penotti dan Corwin berkata, “Sukar untuk membayangkan kesan budaya cerita ini di Asia dan di seluruh dunia. Ia adalah kisah ketamakan dan penipuan kewangan, dan sindiran sosial komedi yang gelap.”
Netizen angkat Nor Salwani sebagai hero selepas misi ‘gila’ bongkar salah laku 1MDB. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Netizen Angkat Nor Salwani Sebagai Hero Selepas Misi ‘Gila’ Bongkar Salah Laku 1MDB
Bekas CEO 1MDB Mengaku Terima Gaji RM99,000 Sebulan Dan Bonus RM1.44 juta
Sekadar Pinjam Wang 1MDB, Jho Low Yakin Tidak Lakukan Kesalahan