Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, merayu untuk meneruskan hidup di Australia, sambil menyatakan berbahaya kepadanya untuk kembali pulang ke Malaysia.

Dalam wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East yang disiarkan pagi ini, Sirul Azhar turut memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya dan minta diampunkan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sumber Gambar: Al Jazeera

FMT melaporkan, dalam wawancara pertama sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney itu, Sirul Azhar mendakwa dia tidak bertanggungjawab ke atas pembunuhan Altantuya walaupun disabitkan bersalah oleh mahkamah di Malaysia.

Dia mendakwa dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik yang mana dia mengakui menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan bertujuan “menutup mulut.”

Dia juga ada membuat beberapa dakwaan yang tidak dapat disahkan terhadap beberapa personaliti individu ternama.

“Saya merayu kepada masyarakat di sini untuk menerima saya. Saya berjanji kepada anak lelaki saya tidak sesekali akan melanggar undang-undang di sini. Saya (akan) patuh segalanya. Saya menyedari adalah sangat tidak selamat untuk kembali ke sana (Malaysia).

“Apa sahaja berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak saya di Australia. Saya berharap masyarakat Australia menerima saya seadanya. Saya bukan orang jahat.

“Saya cintakan Australia jauh di sudut hati, dari jiwa. Berikanlah saya peluang kedua. Satu lagi…saya mahu memohon kemaafan kepada keluarga Altantuya. Tolong maafkan saya. Itu sahaja,” katanya.

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herarld, sebelum ini melaporkan, Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Dia ialah antara sekumpulan tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia memerintahkan menahan tahanan tanpa tempoh adalah pelanggaran undang-undang.

Arahan itu membatalkan keputusan 2004 yang menyatakan individu bukan warganegara tanpa visa boleh dikenakan tahanan tanpa tempoh tertentu dengan syarat kerajaan berhasrat mengeluarkan mereka sesegera mungkin.

Sirul berkata, pegawai polis Malaysia sudah bertemu dengannya sehari selepas dibebaskan dan memaklumkan menteri hal ehwal luar Australia ada menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia bertanya sama ada dia selamat berada di Canberra.

“Mereka memberitahu beliau saya selamat. Tapi, saya kecewa, lihat sahaja berita semuanya jahat tentang saya. Jadi, masyarakat di sini sangat, sangat takut kepada saya. (Mereka fikir) Sirul berbahaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Australia tidak pula mengusir Sirul ke Malaysia memandangkan undang-undang negara itu juga tidak membenarkan mereka berdepan hukuman mati dikembalikan ke negara asal.