Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah antara dua titik (point-to-point).
Dengan pelaksaanan baharu itu, pemantauan kelajuan kenderaan dapat dilakukan secara lebih menyeluruh, lapor Astro Awani.
Baca Juga:
- ‘Monopoli 30 Tahun PUSPAKOM Bakal Berakhir’ – Anthony Loke
- ‘Penumpang Bakal Dapat ‘Full Refund’ Apabila Penerbangan Tergendala Lebih 5 Jam’ – Anthony Loke
- ‘Penumpang Lelaki Bakal Didenda Bila Guna Gerabak Pink’ – Anthony Loke
Purata kelajuan kenderaan akan dikira antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.
“Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.
“Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama.
“Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan saman,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan kaedah baharu itu akan dilakukan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi. Antaranya, kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.
“Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.
“Kaedah sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya.
Anthony Loke turut berharap penambahbaikan sistem kamera AwAS tersebut dapat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.
Untuk rekod, setakat Disember 2024 lalu terdapat kira-kira hampir 45 kameras AES/AwAS yang diletakkan di seluruh negara.