Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, mengesahkan bahawa sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menjadi sasaran serangan siber.
Lebih merisaukan, apabila penggodam menuntut wang tebusan sebanyak $10 juta, atau kira-kira RM45 juta dipetik dari laman Amanz.

Dalam ucapan beliau di sambutan Hari Polis ke-218 di Kuala Lumpur pagi ini, beliau mengesahkan bahawa sistem digital MAHB telah digodam dalam tempoh satu atau dua hari yang lalu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan dan MAHB tidak akan memenuhi tuntutan wang tebusan yang dibuat.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan akan menambah peruntukan untuk memperkukuh keselamatan siber negara, namun butiran spesifik mengenai peningkatan sistem tersebut belum didedahkan.
Maklumat terperinci mengenai serangan siber ini masih terhad. Namun, berdasarkan pemerhatian di platform media sosial, didapati bahawa beberapa sistem utama MAHB terjejas, termasuk sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk, dan pengendalian bagasi penumpang.
Tempoh gangguan yang dialami adalah selama 10 jam, dan pada masa ini, MAHB masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung isu serangan siber ini.