Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan maklumat tular di media sosial dan aplikasi pemesejan WhatsApp berhubung pelaksanaan ujian Sistem Amaran Awal Nasional atau Sistem Amaran Bencana yang didakwa melibatkan orang awam pada hari ini.

SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dakwaan yang menyatakan ujian sistem tersebut akan dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Pahang adalah tidak benar sama sekali.

Menurut suruhanjaya itu, aktiviti yang dijadualkan pada 19 November 2026 hanyalah merupakan ujian teknikal dalaman bagi menilai tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan sistem sebelum pelaksanaan penuh yang lebih meluas dilaksanakan, dan bukannya ujian amaran kepada masyarakat umum di negeri-negeri seperti yang ditularkan.

Terdahulu, tular satu poster peringatan yang mendakwa pihak SKMM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menjalankan ujian Sistem Siaran Sel (Cell Broadcast) selama lapan hingga 15 saat pada Khamis, 19 November 2026, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, SKMM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta merujuk kepada saluran rasmi suruhanjaya tersebut bagi mendapatkan sebarang perkembangan dan pengumuman terkini selaras dengan saranan tidak pasti, jangan kongsi.

Sumber