SMK Seri Manjung dinobatkan sebagai juara Kejohanan Futsal Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Manjung Bawah 18 Tahun 2025 selepas melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas SMK Ambrose dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Manjung Indoor Sports Arena (MISA) petang semalam.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 Mei itu telah berjaya menghimpunkan 16 buah sekolah di daerah Manjung dalam usaha untuk mencungkil bakat muda serta memperkukuh pembangunan futsal peringkat akar umbi.
Baca Juga:
- Kejohanan Futsal MSSD Manjung B-18 2025: Peluang Pemain Muda Serlah Bakat
- Pelanggan Marah Tak Dapat ‘Refund’ Terlepas Babak Awal Blood Brothers, Ini Penjelasan Penuh TGV Manjung
- Jadi Tumpuan Seluruh Malaysia, Ini Sebenarnya Yang Berlaku Di IKM Lumut Pada Semalam
SMK Seri Manjung tampil dominan sepanjang kejohanan dengan mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan sekali gus memastikan kejuaraan menjadi milik sekolah tersebut.

Dalam aksi final yang mendapat sambutan hangat penyokong di sana, SMK Seri Manjung mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan awal Muhammad Rozzan Danial Zainal bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Skuad kendalian Ahmad Nazarul Zam itu tampil lebih cemerlang pada babak kedua untuk menambah tiga lagi jaringan menerusi Wan Danial Iskandar Wan Mohd Noorfaizan, Muhammad Fitri Zulhadzli dan Muhammad Iman Solihin Saiful Asri bagi mematikan sisa perjuangan SMK Ambrose.
Dengan kemenangan bermakna tersebut, pemain SMK Seri Manjung membawa pulang medal dan hadiah wang tunai bernilai RM1,000.00 manakala SMK Ambrose pula menerima medal serta hadiah wang tunai RM500.00.

Sementara itu, SABK Maahad Islahiah Addiniah dan SMK Raja Shahriman yang terkandas di separuh akhir menerima medal dan hadiah wang tunai bernilai RM250.00.
Dominasi SMK Seri Manjung
Selain kejayaan manis itu, SMK Seri Manjung turut mendominasi dua anugerah individu selepas Muhammad Aidilfaris Mohd Khozali dipilih sebagai ‘Pemain Terbaik Kejohanan’ dan Mohammad Afiq Kamal selaku ‘Penjaga Gol Terbaik Kejohanan’.
Sementara itu pemain SMK Raja Shahriman, Ahmadinejad Ahmad Naazeer dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 13 gol berjaya diledakkannya.
Ketiga-tiga pemain tersebut membawa pulang baucar sebanyak RM200.00 tajaan Extravaganza Futsal Shop (EFS).

Turut hadir memeriahkan perlawanan akhir petang semalam ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Yang Berhormat (YB) Wong May Ing bersama-sama Pegawai Khas Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak (DUN Pasir Panjang), Tuan Haji Yahaya Mat Nor, Tuan Hj. Rafiq Mohd, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak (DUN Pangkor) dan Encik Mior Darul Ikram bin Kamarulzaman (Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Manjung Sektor Pembangunan Murid).
Julung kali diadakan dengan penggunaan sepenuhnya peraturan futsal yang digariskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kejohanan ini mendapat sokongan penuh daripada Millennials Malaysia, Al Kauthar Eduqids, EFS, Lumut Naval Shipyard (LUNAS) dan Binazrin Group selaku penaja utama.
Manakala penaja-penaja yang turut terlibat ialah Sportivo, Bintang Manjung Engineering Sdn Bhd (SILO), Tranz ASM, NKF Future, Muzzzyyy Shop dan Zeeper.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan pelajar, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan futsal akar umbi di daerah Manjung.
Dengan sokongan berterusan daripada pihak sekolah, komuniti dan sektor swasta, futsal mampu untuk terus berkembang sebagai salah satu sukan teras yang mampu melahirkan bakat muda bertaraf tinggi dari peringkat sekolah ke pentas negeri dan kebangsaan.