Snoop Dogg, penyanyi rap terkenal dengan lagu “Gin and Juice,” kini menjadi individu paling kaya di Olimpik Paris 2024 selepas dilaporkan menerima bayaran sehingga RM2.3 juta sehari, lapor The Independent.

Calvin Cordozar Broadus Jr, atau lebih dikenali sebagai Snoop Dogg, berjaya mencuri perhatian ramai dengan ulasan dan gayanya yang lucu sepanjang temasya sukan terbesar dunia ini berlangsung.

Mengambil alih tugas sebagai penyampai khas untuk NBC, Snoop Dogg telah membawa gayanya yang lucu dan keunikan tersendiri untuk acara sukan ini.

Dari mengenakan pakaian lengkap ekuestrian untuk acara dressage hingga bertukar pin dengan Team USA, penampilannya memang tak boleh dilupakan.

Henry L McNamara, seorang ahli perniagaan dari New York yang juga penerima anugerah Forbes 30-Under-30, baru-baru ini mendedahkan bayaran yang diterima Snoop Dogg untuk setiap kehadirannya di Olimpik Paris.

Dalam satu hantaran di X, McNamara menyatakan bahawa Snoop Dogg dibayar sebanyak $500,000 (kira-kira RM2.3 juta) sehari, termasuk perbelanjaan tambahan. Ini bermakna, dalam tempoh 16 hari Olimpik, Snoop Dogg berpotensi meraih sejumlah $8 juta (sekitar RM37 juta).

Bayaran yang besar dan lumayan ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dari peminat.

Kebanyakan mereka merasakan bayaran tersebut adalah berbaloi dengan momen-momen lucu yang dihasilkan oleh Snoop Dogg sepanjang Olimpik.

“Berbaloi setiap sen,” tulis seorang netizen di X, manakala seorang lagi menambah, “Snoop Dogg memeriahkan @Olympics!”

Pada hari Sabtu, Snoop Dogg tular di media sosial apabila beliau menghadiri acara dressage ekuestrian bersama rakannya, Martha Stewart.

Kedua-duanya tiba di pertandingan tersebut dengan memakai pakaian ekuestrian lengkap, termasuk topi keledar, jaket, seluar putih, dan cermin mata hitam.

Dalam satu temubual dengan Today, Stewart mendedahkan bahawa Snoop Dogg memintanya untuk menemani beliau kerana takut dengan kuda.

Snoop Dogg juga mencuit hati penonton apabila beliau diberi akses khas ke muzium Louvre.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram, Snoop Dogg kelihatan memakai pakaian lengkap Team USA sambil berjalan di sekitar muzium Paris tersebut.

“Anda pernah tengok Night at the Museum?” tanya beliau dalam video tersebut, merujuk kepada filem komedi tahun 2006. “Malam ini anda akan masuk muzium bersama Snoop Dogg dan kita akan snooping around.”

Reaksi peminat di media sosial jelas menunjukkan bahawa kehadiran Snoop Dogg di Olimpik Paris 2024 telah membawa satu kesan yang positif.

Bagi mereka, Snoop Dogg bukan sahaja berbaloi dengan bayaran yang diterimanya, malah beliau adalah individu yang tepat untuk memasarkan temasya sukan terbesar dunia ini.