Berita baik buat para perantau yang merancang perjalanan ke selatan tanah air, anda kini tidak perlu bimbang jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas pada pagi Syawal ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Solat Sunat Aidilfitri di Surau Madani, R&R Seremban (Arah Selatan) pada Sabtu ini bagi memudahkan pengguna lebuh raya menunaikan ibadah dengan selesa tanpa perlu tergegas mencari masjid di luar plaza tol.

Baca Juga:

Memetik kenyataan rasmi, penganjuran solat ini telah mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Pemilihan lokasi di R&R Seremban (Arah Selatan) adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai antara hentian utama dengan aliran trafik yang tinggi ke arah selatan, khususnya bagi pengguna yang pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Selain itu, Surau MADANI di R&R Seremban (Arah Selatan) dipilih kerana kapasiti yang lebih besar serta kemudahan yang lengkap dan selesa, sekali gus berupaya menampung kehadiran jemaah dalam jumlah yang ramai.

“Susun atur kawasan rehat serta kapasiti parkir yang mencukupi turut menyokong kelancaran pergerakan pengguna tanpa menjejaskan aliran trafik utama lebuh raya,” katanya.

Bagi para perantau yang akan ke arah selatan, Solat Sunat Aidilfitri ini dijadualkan berlangsung di Surau MADANI R&R Seremban (Arah Selatan) pada 21 Mac, Sabtu, jam 8.30 pagi.