Tidak kiralah betapa kuatnya netizen negara kita bergaduh dengan Indonesia sekalipun, apabila mereka dalam kesusahan tetap sedia sudi membantu seperti adik beradik.

Kita pun sedia maklum keadaan di Indonesia menghadapi gelombang protes dan rusuhan besar-besaran, yang dilaporkan telah berlaku di pelbagai kawasan seperti Jakarta, Surabaya, dan Bandung.

Sudah pasti, mereka yang bekerja dengan upah harian akan terjejas teruk. Gaji harian mereka akan berkurang atau hilang sepenuhnya, menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli barang keperluan asas atau makanan untuk terus hidup.

Dalam pada itu, rupanya rakyat Malaysia pada ketika ini sedang melancarkan satu gerakan murni di mana menempah makanan dan minuman menerusi Grab berlokasi di Indonesia lalu diagihkan pada warga tempatan.

Seorang warga tempatan berkongsi bagaimana cara praktikal bagaimana orang ramai boleh melakukan adalah dengan menukar lokasi Grab ke Jakarta kemudian menetapkan lokasi penghantaran sebagai contoh di Hotel Shangri-la dan meninggalkan pesanan ringkasan supaya ia disedekahkan kepada warga tempatan di sana.

Susulan hantaran itu, ia langsung mencetus minat warga tempatan di Malaysia untuk turut mengikuti gerakan murni ini dan ada yang menunjukkan tangkap layar sudah membantu saudara di sana dengan bantuan sebegini.

'Solidariti Serumpun' - Rakyat Malaysia Hulur Bantuan Makanan Ke Indonesia Guna Aplikasi Grab
Sumber Gambar: FB
grab
Sumber Gambar: Threads

Melihat respon rider di sana, ternyata mereka pada mulanya keadaan bingung namun meluahkan rasa bersyukur dengan bantuan yang tidak disangka-sangka di kala dalam kesusahan.

Ramai yang meninggalkan pesanan ringkas yang membuatkan rakyat di sana meruntun hati iaitu ““Tak perlu hantar, makan saja. Atau bahagi-bahagi dengan teman ojek” kerana ia cukup bermakna buat mereka.

'Solidariti Serumpun' - Rakyat Malaysia Hulur Bantuan Makanan Ke Indonesia Guna Aplikasi Grab
Sumber Gambar: Threads

Ramai rider menitipkan doa buat semua penderma dan memberi gambar sebagai bukti telah diagihkan seperti yang dipinta.

Cukup dengan RM20, kita sudah boleh membeli makanan yang cukup untuk mengisi perut beberapa warga tempatan di sana.

grab
Sumber Gambar: Threads

Selain menempah nasi goreng, kelihatan juga mi kriting, belikan air mineral 100 botol untuk dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukan.

Dari gambar yang dikongsikan rider, tampak wajah penuh kesyukuran dan kelegaan oleh warga tempatan yang dapat menikmati makanan yang dikirimkan oleh rakyat Malaysia itu.

Dengan #SolidaritiIndonesia, #kitajiran, ia membawa mesej yang cukup besar bahawa rakyat Malaysia sangat mengambil berat akan keadaan saudara di Indonesia dan berharap semua akan kembali pulih kepada sedia kala dengan pembaharuan yang lebih baik.

Sementara di ruangan komentar, warga Indonesia langsung mengucapkan terima kasih dan terharu tindakan murni warga tempatan Malaysia yang sudi membantu mereka walaupun sering berperang di media sosial sebelum ini.

“Hai, saya orang Indonesia dan terima kasih atas kebaikan ini. Ia sangat bermakna bagi mereka.

“Wow, ini membuatkan saya sebak… Sebagai rakyat Indonesia, saya ingin mengucapkan terima kasih dan rasa hormat. Dan ya, sekarang memang huru-hara di mana-mana. Saya mohon maaf kepada rakan-rakan di Malaysia atas sebarang komen buruk dari pihak kami.

“Saya sungguh sebak . Kakak, abang, saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala kebaikan dan sokongan anda semua. Ini bukan soal harganya, tetapi semuanya sangat bermakna buat kami . Semoga Allah membalas kebaikan anda berlipat kali ganda. Mohon doakan kami”, demikian titipan mesej yang dikongsikan dari saudara kita di sana.