Salah seorang lagenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams dilantik sebagai duta sukan kepada negeri Johor.
Menurut laporan NST, pelantikan Williams mendapat sokongan dari Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dalam langkah memartabatkan sukan di negeri itu.
Baca Juga:
- Sonny Bill Williams Doakan Faisal Halim Cepat Sembuh
- RASMI: Luis Garcia Dilantik CEO JDT
- Dalam Diam Johor Tengah Jadi Kuasa Besar Asia, Ini Sebabnya
Sonny Bill Williams Teruja Dengan Pelantikan Sebagai Duta Sukan Johor
“Adalah satu penghormatan yang luar biasa bagi saya untuk dinamakan sebagai Duta Sukan Johor.

“Saya teruja untuk menyumbang ke arah pertumbuhan sukan di Johor dan memberi inspirasi kepada atlet muda untuk merealisasikan impian mereka, bekerja keras, dan mencapai kejayaan,” kata bekas pemain berusia 39 tahun itu.
Sonny Bill Williams merupakan nama besar terbaru yang dilantik sebagai duta bagi memainkan peranan penting dalam memartabatkan sukan di negeri Johor.
Johor sebelum ini membawa masuk Datuk Lee Chong Wei untuk menjadi penasihat badminton bersama bekas juara dunia UFC iaitu Khabib Nurmagomedov yang bakal membuka gim di negeri itu serta legenda Australia iaitu Tim Cahill.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Hairi Mad Shah berkata Tunku Ismail telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan di negeri ini.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Ismail atas komitmen yang tidak berbelah bahagi, khususnya dalam pembangunan sukan dan atlet di negeri Johor.
“Kerjasama dengan Williams ini mencerminkan cita-cita Johor untuk memupuk budaya sukan bertaraf dunia,” katanya.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Ekmaluddin Ishak berkata Williams adalah orang yang tepat untuk dilantik sebagai Duta Sukan Johor, dan dengan perancangan yang rapi, ini dapat merealisasikan visi Johor untuk pembangunan sukan bersama.