Setiap perjalanan individu sememangnya tidak sama. Terdapat individu yang mempunyai jalan hidup yang mudah dalam membangunkan bisnes atau kerjaya dan terdapat juga individu yang terpaksa melalui kisah sebaliknya.

Dalam pada itu, usaha dan ikhtiar berterusan sememangnya tidak pernah mengkhianati hasil sekiranya kena dengan caranya. Itulah yang terjadi kepada seorang individu bernama Zed Rodzuan yang tampil berkongsi di X perjalanan jatuh bangun beliau dalam dunia perniagaan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Menurut Zed, beliau pernah ditendang daripada bisnes sendiri serta terbeban dengan hutang sebanyak RM180,000 sewaktu mahu membuka bisnes. Bukan itu sahaja, beliau juga turut diuji dengan kereta ditarik berikutan masalah kewangan.

Menerima dugaan yang berat pada usia 28 tahun, individu ini memaklumkan memilih pulang ke kampung serta sekadar mengharapkan belas ihsan keluarga untuk makan dan meneruskan kehidupan.

Tekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur

Dalam pada itu, beliau tidak memilih untuk terus menyalahkan takdir sebaliknya kembali bangkit semula dan bertekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur meskipun tanpa hala tuju.

Zed kemudiannya memilih untuk menjadi ejen hartanah. Walau bagaimanapun, beliau sekali lagi diuji dalam tempoh sehingga 6 bulan apabila gagal untuk mendapatkan jualan sekaligus tidak meraih keuntungan.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau memilih untuk menetap di kediaman yang dikatakan seakan rumah setinggan di Sentul dan sekadar menjamah roti untuk meneruskan kehidupan.

Beliau juga terpaksa meminjam duit daripada adik beradik sekiranya mahu menjamah sebuah hidangan penuh.

Segalanya berubah pada bulan keenam apabila beliau direzekikan penjualan dua buah rumah secara serentak di Ayers Tower Ampang yang sekaligus membolehkan beliau bertahan diri untuk beberapa bulan. Rentak beliau diteruskan lagi dengan menjual beberapa buah rumah kemudiannya.

Mula menjalankan bisnes kecil-kecilan

Di sebalik terbeban dengan hutang serta pernah ditendang daripada bisnes sendiri, semangat keusahawan Zed masih menebal apabila beliau memilih untuk menggunakan duit simpanan beliau ditambah dengan duit pinjaman daripada ayahnya sebanyak RM10,000 untuk membangunkan bisnes terbarunya.

Dinamakan sebagi Soru Station, beliau memulakannya dengan mencari lori buruk dan mengubah suai untuk dijadikan foodtruck bagi menjual makanan dan minuman buat para pelanggan di kawasan Cheras.

Permulaan bisnes beliau sekali lagi diuji apabila beliau terpaksa mengeluarkan keuntungan beliau sendiri hasil menjual rumah untuk membiayai gaji pekerja berikutan jumlah jualan yang masih belum tinggi untuk menanggung gaji pekerja.

Bulan-bulan seterusnya, perniagaan beliau mula mendapat momentum yang baik di mana para pelanggan mulai mahukan ruangan yang lebih besar untuk menjamah di kawasan tersebut.

Beliau memaklumkan perniagaan beliau turut mendapat perhatian rakannya yang sedia melabur dalam Soru Station di mana beliau menggunakan dana RM17,000 tersebut untuk berpindah ke medan selera berdekatan.

Rezeki berpihak kepada beliau pada kali ini apabila salah seorang daripada pelanggan beliau yang merupakan pegawai Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang sedia menawarkan peluang dana pinjaman kerajaan sebanyak RM100,0000 kepada beliau selaku usahawan tempatan.

Usaha beliau untuk memohon berserta perniagannya yang semakin mendapat perhatian akhirnya berjaya diluluskan pihak PUNB sekaligus membolehkan beliau meluaskan perniagaan beliau dengan membuka kedai yang lebih besar di Kota Damansara.

Berjaya melebarkan sayap dengan membuka 9 cawangan

Siapa sangka, bermula daripada terbeban dengan hutang RM180,000, lelaki ini berjaya buktikan mahu kembali bangkit dengan membuka 9 cawangan Soru Station hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan.

Lebih hebat, beliau bercadang untuk membuka 7 lagi cawangan Soru Station dalam tempoh 6 bulan daripada sekarang.

Perkongsian penuh inspirasi beliau berjaya membuat para netizen kagum serta terinspirasi dengan kisah jatuh bangun beliau. Tidak kurang juga yang memuji hidangan di Soru Station beserta harganya yang berbaloi.

Setakat ini Soru Station sudah berada di beberapa kawasan terdiri daripada Kota Damansara, Shah Alam, Sungai Besi, Wangsa Maju, Bangi, Ampang, Puchong dan Setia Alam. Difahamkan penawaran hidangan yang pelbagai serta harga yang membaloi antara yang menjadi tarikan utama Soru Station.