Untuk mendapatkan pekerjaan pada masa kini sangatlah mencabar, malah lebih sukar lagi jika anda merupakan warga asing yang menetap di Malaysia. Namun dengan kecanggihan teknologi masa kini, sesetengah individu menjadi lebih licik dengan cubaan menipu identiti pula.
Menerusi laporan Berita Harian, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kini berjaya mengesan dan menyekat cubaan lebih 46,000 individu, termasuk warga asing dan mereka yang menggunakan identiti palsu untuk memohon kerja dalam sektor awam sejak tahun 2020 hingga 15 Mac lalu.
Baca Juga:
- 3 Orang Guru Jadi Mangsa ‘Online Scam’ Secara Purata Setiap Hari Sepanjang 2022
- Influencer Tempatan Ini Rugi Lebih RM16,000 Selepas Jadi Mangsa ‘Scam’ Tawaran Kerja Di Facebook
- Gara-Gara Mahu Beli Kad TNG NFC Terlajak Murah, Lelaki Ini Lesap Lebih RM23,000 Kepada Scammer
Difahamkan mereka merupakan antara 2.2 juta pemohon yang mengisi maklumat peribadi bagi memohon kekosongan perjawatan yang ditawarkan dalam sektor perkhidmatan awam bagi tempoh lebih dua tahun lalu.
Menurut Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata pihaknya dapat menyekat cubaan menceroboh sistem perkhidmatan awam dengan menggunakan teknologi padanan nombor kad pengenalan pemohon dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9).
Diharapkan lebih banyak kegiatan sebegini dapat dibendung dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa. Penipuan identiti ini merupakan jenayah berat yang mana boleh menjejaskan institusi negara kita jika ia berlarutan.