Sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah dikesan melakukan penipuan pembekalan beras mengakibatkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makan ruji negara.

Kegiatan itu dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendapati syarikat berkenaan mendapat kontrak pembekalan beras daripada syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di semenanjung Malaysia.

Baca Juga:

Memetik Harian Metro, sumbernya berkata berdasarkan kontrak berkenaan, syarikat terbabit membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta sebagai pembiayaan projek berkenaan beberapa tahun lalu.

“Pengarah syarikat dipercayai berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun bernilai lebih RM100 juta namun pembekalan tidak dibuat.

“Syarikat berkenaan dikatakan sudah pun menerima amaun kira-kira RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi,” katanya.

Kata sumber, suspek terbabit juga dikatakan mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu kepada pihak bank untuk proses permohonan pembiayaan pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan berkaitan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber