Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyatakan pihak bercadang prosiding perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi disiarkan secara langsung (live).
Menurutnya, oleh kerana ada segelintir pihak menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta sehingga menjadi tohmahan, siaran live dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman, petik Harian Metro.
Baca Juga:
- ‘SPRM Banyak Dapat Maklumat Daripada Pemangku Sultan Johor’ – Azam Baki

- Berapa Nilai Harta Rasuah Dirampas SPRM Dalam Tempoh 5 Tahun?

- Ops Sky: SPRM Kesan RM700 Juta Pinjaman Kepada Pegawai Kerajaan Yang ‘Blacklisted’

“Antara cadangan adalah untuk membenarkan penstriman langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang ramai dapat mengikuti prosiding secara telus.
Jika ini dilaksanakan ia menunjukkan ketelusan kerajaan dan orang ramai boleh menilai sendiri perjalanan kes tersebut,” kata beliau pada sesi khas bersama media di sini hari ini.
Pada masa sama, lokap agensi penguat kuasa di seluruh negara dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketelusan dan menangani isu salah laku.
“CCTV amat penting untuk memastikan akauntabiliti, CCTV yang ada sekarang banyak yang telah ketinggalan zaman dan berbentuk stand-alone dan tidak disambungkan ke pusat kawalan.
“Pada masa ini, CCTV canggih yang lengkap dengan teknologi AI amat diperlukan untuk memantapkan proses pemantauan dan akauntabiliti di lokap,” katanya.
Cadangan itu diusul kerana terdapat aduan mengenai isu rasuah, ketidakpatuhan serta kelemahan dalam pemantauan di lokap-lokap agensi penguat kuasa yang masih menggunakan CCTV lama.