Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mulakan siasatan terhadap isu membabitkan penyelewengan RM92.5 bilion oleh kerajaan terdahulu, lapor Harian Metro.
Sebanyak lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat diserbu pegawai SPRM. Sumber SPRM menyatakan lapan agensi kerajaan itu dikesan menerima peruntukan besar melalui pakej rangsangan diluluskan kerajaan terdahulu pada 2020 dan 2021.
Baca Juga:
- Isu Kesal Guna Duit KWSP Labur ‘Unit Trust’, Pakar Kewangan Dedah Realiti Sebenar
- Jangan Ulang 5 Kesilapan Kewangan Orang Malaysia Selalu Buat
- Lelaki Ini Dedah Mengapa Kedai Motosikal Lebih Suka Pembeli Buat ‘Loan’ Berbanding Beli Tunai
Susukan serbuan di lapan agensi kerajaan berkenaan, SPRM turut menyerbu sembilan syarikat untuk mendapatkan dokumen tertentu.
“Sembilan syarikat berkenaan dipercayai adalah pembekal utama kepada lapan agensi berkenaan.
“Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran lanjut berikutan siasatan SPRM masih di peringkat awal.
“Pihak SPRM memerlukan lebih masa untuk menyemak kes itu secara menyeluruh dan mengesan sebarang kegiatan rasuah, salah laku kuasa atau penyelewengan,” katanya
SPRM sebelum ini berkata, siasatannya terhadap dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika COVID-19 tertumpu kepada sejumlah peruntukkan RM92.5 bilion yang dibelanjakan kerajaan terdahulu.
Dalam kenyataannya SPRM memaklumkan, Kementerian Kewangan sudah memperincikan butiran dana itu di bawah pakej rangsangan ekonomi pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan pandemik COVID-19.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan itu dianggarkan berjumlah RM530 bilion, dan berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.
Susulan itu, SPRM dikatakan bakal memanggil bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan dua bekas menteri untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.