Seorang lelaki yang menjadi individu pertama didakwa di bawah undang-undang Anti-Stalking telah diarah Mahkamah Majistret menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan.

Memetik laporan Harian Metro, Majistret Sasha Diana Sabtu membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memohon Mohamad Safiq Rosli, 37, dihantar ke hospital itu.

Baca Juga:

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Mohamad Safiq yang memakai kemeja hijau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Sasha Diana.

“Tidak mengaku (bersalah), mohon bicara,” katanya.

Tertuduh yang kini penganggur melalui aplikasi Twitter atas nama akaun “@sopert99” secara berulang mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, dengan menghantar tiga komunikasi berbentuk luahan perasaannya seperti dalam lampiran kepada akaun Twitter milik mangsa “@ShaFoShizzle” yang dibaca di sebuah rumah di daerah ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1.40 petang, 15 Julai dan 5.58 petang, 21 Julai lalu yang mana tertuduh sepatutnya tahu ia boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 507A(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, Mohamad Safiq menjadi individu pertama di negara ini didakwa atas pertuduhan menghendap mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang baharu dikuatkuasakan.

Mana-mana individu yang didapati bersalah, berdepan hukuman penjara maksimum hingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selepas mengambil kira faktor tertuduh sebelum ini melanggar syarat jaminan polis bagi kes di United Kingdom (UK).

“Tertuduh sepatutnya hadir ke mahkamah di negara itu untuk memberi penjelasan atas pelanggaran jaminannya pada 2 Jun lalu tetapi dia melarikan diri ke Malaysia dan namanya telah disenarai hitam di UK.

“Saya juga diarahkan untuk menghantar tertuduh ke Unit Forensik Psikiatri di Hospital Ulu Kinta untuk pemerhatian. Sebelum ini, tertuduh dihantar oleh keluarganya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan pihak hospital turut memberikan laporan perubatan tertuduh pada hari ini,” katanya.

Zilfinaz berkata, tertuduh ditempatkan di wad psikiatri di HKL sejak 17 Julai sehingga kini dan polis mengambil tertuduh di hospital itu untuk dituduh di mahkamah hari ini.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Fithril Hakim Ab Jalil, ketika ditemui media memaklumkan tidak membantah anak guam dihantar ke hospital berkenaan untuk pemeriksaan psikiatri.

“Atas permintaan pendakwaan, kami serahkan kepada pakar untuk rawatan psikiatri.

“Keluarga hantar anak guam ke HKL sebelum ini untuk rawatan selama sebulan. Kami percaya rawatan di hospital bahagia diperlukan,” katanya.

Peguam pemerhati mewakili mangsa, Jason Wee, pula mengesahkan memohon perintah perlindungan supaya anak guam tidak diganggu tertuduh.

“Kami percaya ini permulaan kes, di mana kami bertungkus-lumus dan bekerja keras untuk mendapatkan keadilan.

“Kami berterima kasih kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang membantu mangsa penghendap,” katanya.

Sumber