Syarikat startup yang berpangkalan di London bernama Builder.ai kini berhadapan dengan pelbagai masalah.
Menurut Times of India, kalau dulu kehadiran mereka dipuji sebagai masa depan pembangunan perisian, kini syarikat yang pernah dinilai $1.5 bilion (RM6.3 bilion) itu sedang bergelut dengan bankrap, siasatan jenayah dan malu besar selepas didakwa ‘menyamar’ teknologi kecerdasan buatan (AI).
Syarikat startup ini berjaya memikat ramai pelabur termasuk gergasi seperti Microsoft dan Qatar Investment Authority, dengan janji menjadikan pembinaan aplikasi semudah ‘pesan piza’.
Syarikat Startup: Natasha Adalah Scammer
Produk utama mereka, AI bernama Natasha, dikatakan mampu membina aplikasi dengan kuasa AI.
Tapi realitinya? Natasha hanyalah nama palsu untuk 700 jurutera warga India yang tulis kod secara manual.
Bayangkan para pelanggan menyangka bahawa mereka bercakap dengan AI, tetapi rupanya ada manusia di sebaliknya tengah sibuk menaip kod.
Ini bukan sekadar jenaka teknologi — ini satu penipuan besar yang berjaya bertahan selama beberapa tahun.
Syarikat Startup Terbongkar Sejak Awal Tahun Ini
Kisah ini mula mendapat perhatian ramai pada Mei 2025, bila peminjam utama, Viola Credit, menyita $37 juta daripada akaun Builder.ai selepas mendapati syarikat itu telah menipu unjuran hasil tahunan sebanyak 300%.
Founder syarikat, Sachin Dev Duggal, berjanji akan mencatat jualan $220 juta pada 2024.
Tapi selepas audit bebas dijalankan, hasil sebenar cuma $50 juta.
Lebih mengejutkan, penipuan ini bukan baru, seawal tahun 2019 lagi, laporan dari Wall Street Journal sudah membongkar bahawa ‘AI’ Builder.ai sebenarnya hanya kerja jurutera manusia.
Malah, bekas pekerja bernama Robert Holdheim pernah menyaman syarikat itu sebanyak $5 juta selepas dia dipecat kerana membongkarkan penipuan ini.
Katanya, sistem AI yang dipromosikan syarikat “langsung tak berfungsi dan hanya tipu helah pemasaran.”
Masalah bertambah bila CEO baru, Manpreet Ratia, yang dilantik pada Februari 2025, dedah segala penipuan kewangan dalam syarikat.
Kini, pendakwa raya di New York telah meminta semua dokumen kewangan dan senarai pelanggan Builder.ai sebagai sebahagian daripada siasatan persekutuan.
Syarikat itu kini berhutang besar — $85 juta kepada Amazon, $30 juta kepada Microsoft, dan kira-kira 1,000 pekerja telah kehilangan kerja.