Kerjasama baharu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengubah landskap politik Negeri Sembilan apabila gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan 2026.

BN muncul sebagai parti terbesar dengan 18 kerusi manakala PN menyumbang tujuh kerusi sekali gus membolehkan gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga.

Kemenangan tersebut turut menyaksikan ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mengetuai pentadbiran negeri.

PRN kali ini turut menghadirkan beberapa keputusan mengejutkan apabila Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook tewas di DUN Chennah kepada calon BN, Siow Kong Choon.

Usaha bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk merebut kerusi DUN Linggi daripada penyandangnya tidak membuahkan hasil apabila beliau tewas kepada calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Di sebalik perubahan tampuk pemerintahan itu, keputusan PRN Negeri Sembilan 2026 turut menyimpan pelbagai statistik menarik yang menggambarkan corak pengundian rakyat, daripada majoriti kemenangan terbesar dan paling tipis sehinggalah penguasaan kerusi mengikut gabungan parti.

PRN Negeri Sembilan 2026
Kredit Foto: NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Pasca Keputusan PRN Negeri Sembilan 2026

1) Statistik Keseluruhan

BN menguasai 18 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan, bersamaan 50 peratus keseluruhan kerusi. PN pula memperoleh tujuh kerusi (19.4 peratus), manakala PH memenangi 11 kerusi atau 30.6 peratus.

2) Majoriti Terbesar

Majoriti kemenangan di setiap DUN turut memperlihatkan jurang sokongan yang berbeza-beza. Lapan kerusi dengan majoriti kemenangan terbesar merekodkan jurang melebihi 12,000 undi.

Berikut merupakan kerusi dengan majoriti kemenangan terbesar dalam PRN Negeri Sembilan 2026:

1) N.25 Paroi – Hj Kamarol Ridzuan Mohd Zin  (PN) – 16,959

2) N.21 Bukit Kepayang – Nicol Tan Lee Koon (PH) – 15,207

3) N.26 Chembong – Dato’ Zaifulbahri Bin Haji Idris (BN) – 13,763

4) N.06 Palong – Mustapha Nagoor (BN) – 13,702

5) N.34 Gemas – Haji Ridzuan Bin Ahmad (PN) – 12,624

6) N.05 Serting – Ustaz Fairuz Isa (PN) – 12,115

7) N.23 Mambau – Lee Kai Yet (PH) – 12,103

8) N.27 Rantau – Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) – 12,018

3) Majoriti Terkecil 

PRN Negeri Sembilan 2026 turut menyaksikan beberapa kerusi ditentukan menerusi persaingan sengit apabila jurang undi antara calon menang dan pencabar terdekat amat kecil.

Lima kerusi berikut merekodkan majoriti kemenangan paling rendah dengan perbezaan tidak melebihi 1,400 undi:

1) N.36 Repah – Koh Kim Swee (BN) – 444

2) N.01 Chennah – Siow Kong Choon (BN) – 688

3) N.18 Pilah – S Leza Md Yassin (BN) – 730

4) N.04 Klawang – Danni Rais (PN) – 1,317

5) N.33 Sri Tanjung – Dr G Rajassekaran (PH) – 1,335

4) Calon Mendapat Undi Terbanyak 

Jumlah undi tinggi yang diraih beberapa calon turut berkait rapat dengan saiz kawasan pemilih yang besar.

Dari sudut jumlah undi popular calon, kemenangan paling besar direkodkan oleh calon PN di DUN Paroi, Hj Kamarol Ridzuan Mohd Zin yang memperoleh sebanyak 32,004 undi.

Jumlah itu menjadi angka undian tertinggi yang diraih mana-mana calon dalam PRN Negeri Sembilan 2026, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya.

Turut mencatat jumlah undi tinggi ialah Nicol Tan Lee Koon (PH) di Bukit Kepayang dengan 24,096 undi, diikuti Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) di Rantau dengan 19,050 undi.

Dato’ Zaifulbahri Bin Haji Idris (BN) yang menang di N.26 Chembong pula menerima 17,160 undi.

Selain itu, beberapa calon lain turut merekodkan jumlah undi tinggi apabila berjaya melepasi angka 15,000 undi, sekali gus menunjukkan kekuatan sokongan pengundi di kawasan masing-masing.

5) Malang Buat BERSATU

BERSATU merekodkan prestasi paling hambar dalam kalangan parti utama apabila bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi DUN.

Malah langkah meletakkan 24 calon untuk bertanding tidak memberikan sebarang makna selepas 23 daripadanya hilang wang deposit, termasuklah Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang merupakan ketua penerangan parti tersebut.

Keadaan tersebut jelas menunjukkan cabaran amat besar parti itu untuk mendapatkan sokongan pengundi. Ini merupakan episod ngeri kedua buat mereka selepas PRN Johor.