Nama Stephen Chow ternyata masih mempunyai aura luar biasa dalam industri perfileman Asia apabila filem terbaharunya, Kung Fu Soccer, mencipta sensasi di pawagam China.
Walaupun banyak kritikan diberikan kepada filem ini ketika teaser promosi dikeluarkan. Namun ternyata ramai yang masih merindui hasil air tangan Stephen Chow.
Filem yang menampilkan kisah pasukan bola sepak wanita itu berjaya meraih kutipan sekitar ¥260 juta (lebih kurang RM150 juta) pada hari pertama tayangan.
Lebih mengagumkan, Kung Fu Soccer menguasai lebih 80 peratus daripada keseluruhan pasaran pawagam di China pada hari pembukaannya, sekali gus membuktikan pengaruh pengarah legenda itu masih belum pudar.
Selain itu, strategi menayangkan filem ini ketika demam bola sepak, sempena Piala Dunia juga memainkan peranan tersendiri.
Kejayaan ini dianggap sebagai kemunculan semula Stephen Chow dalam genre komedi sukan yang pernah melonjakkan popularitinya menerusi filem ikonik Shaolin Soccer lebih dua dekad lalu.
Kali ini, beliau mempertaruhkan konsep baharu dengan mengetengahkan pasukan bola sepak wanita yang digabungkan dengan elemen aksi, komedi dan seni mempertahankan diri.
Sambutan luar biasa daripada penonton juga meletakkan Kung Fu Soccer sebagai antara pembukaan filem tempatan paling berjaya di China pada tahun ini.
Bagi peminat di Malaysia, filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam pada Ogos 2026.
Ianya sekali gus memberi peluang kepada peminat karya Stephen Chow untuk menyaksikan sama ada filem ini mampu mengulangi fenomena yang pernah dicipta oleh Shaolin Soccer.