Kuala Lumpur (KL) Thunder dan PDRM Defenders menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke separuh akhir Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor.

Dibarisi trio berpengalaman yang terdiri daripada Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan apit kiri, Amirul Zazwan Amir, KL Thunder dilihat tidak terlalu berdepan masalah untuk mengenepikan cabaran diberikan Teerapat Promnin (tekong), Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi (apit kanan) dan Muhammad Zulhusni Basri (apit kiri).

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan selepas KL Thunder menang mudah 15-8 pada set pertama dan kemudiannya mereka mengesahkan kemaraan dengan kejayaan 15-12 walaupun Terengganu Turtles membawa masuk Zulkifli Razak dan Sutthikiart Panseankaew.

Suku akhir kedua pula menyaksikan PDRM Defenders melepasi cabaran hebat diberikan Penang Black Panthers terutamanya pada set kedua untuk menang 15-7, 17-16.

PDRM Defenfers pada mulanya menurunkan Muhammad Hisyammuddin Mohd Nazri selaku tekong, Muhammad Shahalril Aiman Halim (apit kanan) dan Pharitat Kaewnunual (apit kiri).

Namun, pada pertengahan set kedua Siwatbancha Seekhwa dan Muhammad Shahalril Aimin pula dibawa masuk.

Manakala, Penang Black Panthers pula menyandarkan harapan kepada Ikhwan Syafiq Mohamad Fitri (tekong), Komkrit Kaewkhamjam (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri).

Menanti KL Thunder di separuh akhir petang esok ialah pemenang antara Negeri Sembilan Antlers yang akan berhadapan dengan Selangor Pistons manakala PDRM Defenders perlu menunggu pemenang antara Perak Bison menentang Kelantan Warriors.