Kuala Lumpur (KL) Thunder mudah meraih kemenangan pada aksi sulung kumpulan A Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 selepas menundukkan MGPC Singapore 2-0 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya sebentar tadi.

Mempertaruhkan barisan terkuat dengan meletakkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Zarif Merican Ibrahim Merican selaku tekong, Mohamad Azlan Alias serta Muhammad Redwan Hakim Muhammad (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) jelas tidak mampu digugat Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal serta Raziq Rosli (tekong), Zaihirrman Zaharudin (apit kanan) dan apit kiri, Akmal Musyarraf Rostam.

Baca Juga:

Jurang yang nyata cukup besar dapat disaksikan melibatkan kedua-dua regu ini dimana pemain KL Thunder menggunakan sebaik-baiknya pengalaman luas dimiliki.

Ia jelas dapat disaksikan pada set pertama apabila KL Thunder dengan mudah mengutip 12 mata berturut-turut hingga menyaksikan Rosli Ab Rahman memasukkan Zarif dan Redwan.

Pertukaran itu tidak memberikan sebarang masalah buat KL Thunder dimana lawan hanya mampu mendapatkan satu mata untuk kemenangan 15-1 dalam tempoh 10 minit.

MGPC Singapore memperbaiki sedikit aksi mereka untuk mendapatkan empat mata tetapi trio Zarif, Redwan dan Amirul tidak memberikan banyak ruang kepada lawan mereka untuk mengesahkan kemenangan 15-4.

KL Thunder akan berdepan Garuda Sepaktakraw Indonesia pada jam 8.00 malam esok manakala sebelum itu pada sebelah petang, MGPC Singapore pula menanti cabaran Negeri Sembilan Antlers.