Perak Bison memulakan kempen Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 dengan nota kemenangan selepas menundukkan STFI-India Fighters 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium MPSJ, Serdang Jaya sebentar tadi.

Dibarisi Kritsada Sungvung dan Hairul Hazizi Hadzir (tekong), Muhammad Noraizat Nordin dan Treepong Rawangpai (apit kanan), Aidil Aiman Azwawi selaku apit kiri, Perak Bison tidak berdepan masalah besar untuk menghadapi STFI-India Fighters yang perkuatkan dengan kehadiran Arun (tekong), Yumnam Akash (apit kanan) serta apit kiri, Sorakhaibam Malemnganba Singh.

Baca Juga:

Noraizat Nordin bukan sahaja mengumpul banyak mata menerusi variasi rejaman beliau, malah ‘blocking’ dilakukannya juga cukup menjadi pada perlawanan ini.

Set pertama menyaksikan STFI-India Fighgters cuba untuk memberikan saingan pada peringkat awal, namun selepas itu anak buah Dzafril Anuar jelas sukar digugat untuk menang 15-6.

Skrip sama berulang pada set kedua apabila wakil India itu mendahului 2-0 tetapi kelebihan pantas dipadamkan Perak Bison untuk kembali di hadapan.

Dengan defisit mata besar dimiliki, Dzafril memilih untuk memberikan ruang buat Hazizi dan Treepong bagi menggantikan Krtisada serta Noraizat.

Keadaan itu membolehkan STFI-India Fighters memberikan tekanan dengan mengejar mata hingga kedudukan 12-14 tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan sulung Perak Bison dengan mata 15-12.

Tugas berat menanti Perak Bison malam esok apabila bakal bertemu Royal Thai Airforce manakala STFI-India Fighters akan berdepan Selangor Pistons pada 4.30 petang.